HAFIZH Syahrin, Petronas MIE Racing Honda Ucap Selamat Tinggal

TULAR

10/30/20231 min read

TIADA lagi teka-teki, pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah kini bukan lagi pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda sekaligus rasmi meninggalkan kancah elit WorldSBK Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK).

Perkembangan kurang enak itu diumumkan sendiri Petronas MIE Racing Honda dalam satu kenyataan sejurus kempen WSBK 2023 menutup tirainya di Jerez, Sepanyol, semalam.

Selain Hafizh, pasukan itu turut 'berpisah' dengan seorang lagi pelumbanya, Eric Granado pada penghujung musim 2023.

Hafizh yang juga bekas pelumba MotoGP negara menyertai pasukan Petronas MIE Racing Honda yang juga pasukan satelit Honda di WorldSBK pada musim 2022 menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R.

Pada pusingan terakhir di Jerez, Hafizh berjaya menambah mata kejuaraan dan manamatkan kempen di tangga ke-21 keseluruhan selepas mengumpul 11 mata.

Prinsipal Petronas MIE Racing Honda, Midori Moriwaki berkata keseluruhan pasukan mengucapkan terima kasih kepada Hafizh dan Eric atas sumbangan mereka kepada pasukan.

"Pertama sekali, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua Hafizh dan Eric atas segala kerja keras dan komitmen yang mereka tunjukkan sejak tiba ke garaj kami," kata Midori.

"Kedua-duanya kekal teguh dan positif, dan tidak dinafikan memberikan sumbangan yang penting kepada projek kami pada musim ini, dan untuk Hafizh, untuk musim lalu juga.

"Petronas MIE Racing Honda Team amat-amat menghargai usaha menakjubkan kedua-dua pelumba dan mengucapkan yang terbaik untuk perjalanan karier mereka di masa depan."

Begitupun, pasukan itu tidak mengumumkan lagi nasib seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin yang beraksi dalam kempen WorldSSP musim depan dan akan mengumumkan perancangan mereka dalam tempoh terdekat.

Hafizh pada musim depan dijadual menyertai projek JDT Racing Team yang akan beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) namun perincian mengenainya masih belum diumumkan.