HAFIZH Syahrin Sah Tak Beraksi Di Suzuka 8 Hours, 'Risiko' Terlalu Tinggi!

TULARSUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/5/20231 min read

SAH, tiada kelibat Hafizh Syahrin Abdullah di perlumbaan Suzuka 8 Hours tahun ini. Perkembangan mengecewakan itu diumumkan sendiri pasukannya, Auto Race Ube Racing Team.

Sekalipun tidak beraksi Pusingan 8 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2023 Republik Czech, minggu lalu, Hafizh bersama keluarganya tetap 'terbang' ke Jepun bagi menyertai pasukannya di perlumbaan itu.

Begitupun selepas perbincangan panjang dan pertimbangan sewajarnya, Hafizh dan pasukannya membuat keputusan untuk tidak menyenaraikan bekas pelumba MotoGP itu pada perlumbaan kali ini.

"Kami memutuskan untuk menarik penyertaan Hafizh Syahrin daripada perlumbaan Kejuaraan Endurance Dunia FIM 2023 Coca Cola Suzuka 8 Hours," tulis kenyataan pasukan itu.

"Seperti diketahui, dia mengalami kemalangan yang mengakibatkan kecederaan (retak tulang C6 - bahagian leher) dan mengalami konkusi ketika sesi ujian pada Julai.

"Ketika ujian pada kelmarin, kami menjalani ujian sebanyak beberapa pusingan tanpa ada sebarang masalah, tetapi selepas itu, kami mengadakan perbincangan dengan doktor-doktor di FIM (Persekutuan Motosikal Antarabangsa) dan penganjur perlumbaan, dan selepas pertimbangan yang teliti tentang 'bagaimana jika?', kami memutuskan untuk tidak mengambil bahagian.

"Pertama sekali, keputusan yang diambil selepas pertimbangan yang cukup mendalam mengenai bahaya yang akan hadir dan impak kepada perlumbaan secara keseluruhan."

Justeru, menurut Pengarah Pasukan Auto Race Ube Racing Team, Takayuki Nakai, pihaknya meminta maaf kepada semua peminat yang mengharapkan Hafizh dapat berlumba selain menghargai pandangan mereka.

"Apapun, kami bersedia untuk menghadapi situasi ini dengan baik. Takuya Tsuda dan Dan Linfoot akan menyasarkan podium," katanya.

Sebagai tanda solidariti kepada Hafizh, pasukan itu turut membuat hantaran berbentuk kata-kata sokongan kepada pelumba itu di laman sosial rasmi pasukan seperti 'Hafizh, kami berlumba dengan anda'.