HAFIZH Syahrin Sasar Podium Setiap Perlumbaan, Rebut Kejuaraan Keseluruhan ARRC 2024 Jika Berpeluang!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/1/20241 min read

TIADA sasaran rendah diletakkan Hafizh Syahrin Abdullah dan pasukannya, JDT Racing Team pada penampilan kedua-duanya sebagai 'rookie' di kelas elit ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini.

Ketika sidang media sempena pelancaran pasukan itu di Johor, hari ini, bekas pelumba MotoGP negara itu menyatakan sasarannya adalah untuk berada di podium pada setiap perlumbaan yang berlangsung.

Seperti diketahui, pasukan JDT Racing Team akan menggunakan jentera yang menjuarai gelaran dunia di WorldSBK musim lalu, Ducati Panigale V4R.

"Sasaran yang kami letak pada musim ini adalah sentiasa berada di podium dan jika kami berpeluang untuk bersaing merebut kejuaraan, sudah tentu kami akan merebutnya," kata Hafizh.

Mengulas mengenai kehadirannya di ARRC, Hafizh yang beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kelas WorldSBK musim lalu berkata dia tidak langsung memikirkan mengenai persoalan 'turut pangkat'.

Tetapi menurutnya, ia adalah permulaan perjalanan kariernya bersama keluarga JDT Racing Team.

“Sebenarnya ramai yang menetapkan harapan dan sasaran kepada saya kerana pengalaman saya tetapi pada masa sama, sekalipun saya ada pengalaman tetapi bila saya beralih kepada ARRC, ramai mengatakan saya turun pangkat. Pada saya, ini permulaan perjalanan saya bersama JDT.

“Ini bukan hanya membabitkan seorang individu melangkah ke depan kerana tanpa pasukan, saya takkan berada di sini atau berada di kemuncak. Tetapi kami perlu pergi bersama-sama, bermula dari sini,” katanya.

Kempen ARRC pada musim ini dijadual berlangsung sebanyak enam pusingan dengan Thailand (Buriram) menjadi tuan rumah pusingan pertama pada 15 hingga 17 Mac ini.

Ia diikuti Pusingan 2 di China (19-21 April), Pusingan 3 di Motegi, Jepun (7-9 Jun), Pusingan 4 di Mandalika, Indonesia (26-28 Julai), Petronas SIC (13-15 September) sebelum ia kembali ke Buriram bagi pusingan penutup tirai pada 6 hingga 8 Disember.