HAFIZH Syahrin Tak Mampu Dicabar Di Sepang
Kemenangan menyaksikan Hafizh Syahrin yang juga penyandang juara keseluruhan dan menunggang jentera Ducati Panigale V4R meraih kejayaan 'double' pertamanya sejak 2024 di ARRC di depan penyokong sendiri
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/11/20261 min read


PELUMBA sensasi JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah meneruskan rentak cemerlangnya apabila melakar kemenangan berganda selepas menjuarai Perlumbaan 2 kelas ASB1000 pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC), hari ini.
Selepas cemerlang menawan Perlumbaan 1 semalam, penyandang juara keseluruhan itu sekali lagi mempamerkan tunggangan memukau bersama jentera Ducati Panigale V4R sebelum meraikan kejayaan 'double' pertamanya sejak 2024 di hadapan penyokong sendiri.
Sebaik lampu isyarat padam, pelumba berusia 32 tahun itu yang bermula dari petak utama melakukan pecutan sempurna untuk terus memimpin perlumbaan, diekori rapat oleh Keito Abe (SDG HARC-PRO Honda Philippines) manakala pelumba Swift Grow Racing Team, Lachlan Epis di kedudukan ketiga.
Tetapi menjelang pusingan ketiga, pelumba dengan julukan 'Pescao' menampilkan dominasi dan terus melebarkan jurang masa kepada pencabarnya yang lain di liter.
Situasi itu menyaksikan persaingan lebih menarik di bagi memburu baki podium membabikan Abe, Lachlan, Zaqhwan Zaidi (Idemitsu Honda Racing Malaysia) dan rakan sepasukan Hafizh, Andi Farid Izdihar.
Bermula di petak ke-4, Andi Farid yang pada satu ketika ketinggalan mula menemui rentaknya bertindak garang memintas Zaqhwan dan Lachlan untuk menduduki tempat ketiga pada pusingan ke-10, sebelum merapatkan jurang dengan Keito.
Dan asakan bertali arus pelumba Indonesia itu membuahkan hasil pada pusingan ke-13 apabila dia melakukan pintasan berani ke atas Keito di Selekoh 9, sekali gus meletakkan kem JDT Racing Team di landasan terbaik untuk merekodkan penamat 1-2.
Tetapi, hasrat JDT Racing Team untuk melakar kedudukan 1-2 lebur pada saat akhir tidak menjadi apabila Abe berjaya mencuri peluang memecut di laluan lurus terakhir untuk merampas tempat kedua dengan perbezaan masa 0.006s dengan Andi berpuas hati melengkapkan pentas podium.
Sementara itu, dua lagi pelumba negara dari Idemitsu Honda Racing Malaysia, Zaqhwan dan Azroy Hakeem Anuar masing-masing menamatkan saingan di kedudukan keempat dan kelima manakala pelumba wildcard, Adam Norrodin dari AMI Suzuki Motorsports di tempat ke-8.

