HAFIZH Syahrin Takluk Motegi

Hafizh Syahrin Abdullah meraih kemenangan pertamanya kelas elit ASB1000 di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 apabila menjuarai Perlumbaan 2 di Motegi, Jepun

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/13/20251 min read

ARRC
ARRC

PELUMBA JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah tampil dengan persembahan cemerlang apabila menjuarai Perlumbaan 2 kelas elit ASB1000 dalam Pusingan Ketiga Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Twin Ring Motegi, hari ini.

Memulakan perlumbaan dari petak utama, bekas pelumba MotoGP itu jelas enggan mengulangi kekecewaan pada Perlumbaan 1, semalam apabila terbabit dalam kemalangan seawal pusingan pertama apabila pantas cuba menjarakkan diri daripada kelompok utama di awal saingan.

Tetapi percubaannya untuk meloloskan diri tidak berjaya apabila pelumba tuan rumah, Keito Abe berjaya berada rapat dengannya sebelum pelumba pasukan SDG HARC-Pro Honda Philippines itu memintasnya pada pusingan keempat.

Pelumba berpengalaman negara itu enggan mengalag kekal berada di belakang Abe sebelum memulakan gerakan pada pusingan terakhir dan tindakan itu menghadiahkannya kemenangan dengan kelebihan hanya 0.213 saat di garisan penamat.

Ia adalah kemenangan sulung pelumba berusia 31 tahun itu dalam kempen ARRC pada musim ini.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Jepun, Sho Nishimura yang beraksi sebagai pelumba wildcard bersama pasukan Japan Post Honda Racing, melengkapkan kedudukan podium.

Dalam Perlumbaan 1 semalam, Hafizh dikecewakan apabila terbabit dalam kemalangan seawal pusingan pertama bersama pelumba Thailand, Nakarin Atiraphuvapat (Honda Racing Thailand) yang mengakibatkannya tidak menamatkan perlumbaan.

Sementara itu, malang turut menimpa seorang lagi pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar yang juga pendahulu kejuaraan apabila terbabit kemalangan pada awal perlumbaan,

Azroy yang mewakili pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia cuba untuk meneruskan perlumbaan, namun terpaksa akur kembali ke pit pasukan akibat kerosakan pada jenteranya dengan insiden itu menyebabkannya kehilangan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan kategori ASB1000 kepada Abe.

Sementara itu, tiada pelumba negara berjaya menempatkan diri di podium dalam kelas SS600 selepas wakil negara, Md Helmi Azman terjatuh pada pusingan terakhir ketika berada di kedudukan ketiga.

Situasi sama turut berlaku dalam kelas AP250 dan UB150 apabila tiada wakil dari Malaysia yang berjaya mencipta keputusan podium.