HAFIZH Syahrin Ungguli Hari Pembukaan Di Buriram
Bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin merekodkan masa keseluruhan terbaik 1 minit 35.742 saat (s) menerusi pusingan pantas pada minit-minit terakhir sesi Latihan Bebas 3 (FP3), sekali gus meletakkannya sebagai pelumba pilihan menjelang sesi Kelayakan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/8/20261 min read


JAGUH JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah mempamerkan kebangkitanvuntuk mencatat masa terpantas pada hari pembukaan Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 kelas perdana ASB1000 di Litar Buriram, Thailand, hari ini.
Bekas pelumba MotoGP negara itu merekodkan masa keseluruhan terbaik 1 minit 35.742 saat (s) menerusi pusingan pantas pada minit-minit terakhir sesi Latihan Bebas 3 (FP3), sekali gus meletakkannya sebagai pelumba pilihan menjelang sesi Kelayakan, esok.
Saingan di kelompok hadapan jelas berlangsung sangat sengit apabila pelumba Savitar Team Asia, Rocco Sessler mengekori rapat di kedudukan kedua dengan catatan masa 1:35.888s, hanya dibezakan 0.146s di belakang Hafizh.
Duo pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia turut membuktikan kemampuan jentera mereka apabila Azroy Hakeem Anuar menduduki tempat ketiga (1:35.997s), diikuti rakan sepasukannya, Muhammad Zaqhwan Zaidi di kedudukan keempat (1:36.005s).
Zaqhwan sebelum itu cemerlang mengungguli sesi FP1 dan FP2, namun Azroy lebih mencuri tumpuan apabila merekodkan kelajuan tertinggi mencecah 294.30 kilometer sejam (km/j) di laluan lurus di Buriram.
Melengkapkan senarai lima teratas ialah rakan sepasukan Hafizh dari Indonesia, Andi Farid Izdihar (1:36.165s).
Mengulas prestasinya, Hafizh meluahkan rasa syukur apabila kempen pusingan kedua bermula positif biarpun terpaksa berdepan detik cemas pada sesi awal pagi.
"Alhamdulillah, kami menamatkan Hari 1 dengan perasaan yang sangat positif. Saya mengalami kemalangan kecil pada FP1 ketika cuba memahami had keupayaan jentera, namun bersyukur semuanya okey dan kami kembali lebih kuat.
"Pada sebelah petang, kami melengkapkan dua simulasi perlumbaan panjang, termasuk ketika cuaca paling panas. Semuanya nampak terkawal, dan kami akan terus mengkaji data malam ini untuk mencari ruang penambahbaikan menjelang sesi kelayakan esok," katanya.

