HAKIM Danish Akhiri Kempen JrGP 2025 Di Kedudukan Ke-8 Keseluruhan

Hakim Danish akan meneruskan kariernya di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kelas Moto3 bersama pasukan MT Helmets-MSi pada musim depan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/23/20251 min read

PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli mengakhiri kempen Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di kedudukan ke-8 keseluruhan selepas mengumpul 15 mata pada pusingan terakhir di Valencia, Sepanyol, hari ini.

Pada pusingan terakhir yang berlangsung di Litar Ricardo Tormo, pelumba berusia 18 tahun itu berjaya mengutip mata dalam kedua-dua perlumbaan.

Pelumba pasukan SIC Racing-MSI itu menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kesembilan, sekaligus meraih tujuh mata kejuaraan berharga.

Jaguh kelahiran Terengganu itu kemudiannya memperkemaskan tunggangannya pada Perlumbaan 2 untuk memperbaiki keputusan dan melintasi garisan penamat di tempat kelapan sekali gus menambah lapan lagi mata.

Apa yang diraihnya di Valencia membolehkan Hakim Danish mengumpul keseluruhan 89 mata pada musim terakhirnya di kejuaraan itu.

Menariknya, pencapaian menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik itu adalah keputusan terbaik pernah dilakar oleh mana-mana pelumba negara yang beraksi di kejuaraan itu setakat ini.

Pencapaian terbaik Hakim Danish pada musim ini adalah kejayaan menaiki podium di tempat kedua pada pusingan pembukaan di Estoril, Portugal, yang menjadi satu-satunya penamat podium buat dirinya musim ini.

Sementara itu, pelumba Argentina, Marco Morelli tampil dengan prestasi cemerlang apabila menguasai saingan di Valencia apabila menjuarai kedua-dua perlumbaan, manakala gelaran juara keseluruhan mutlak musim ini sudah pun disahkan lebih awal menjadi milik pelumba Sepanyol, Brian Uriarte.

Hakim Danish kini bersedia untuk melangkah ke fasa lebih mencabar dalam kariernya selepas dia secara rasminya akan 'naik pangkat' untuk beraksi sepenuh masa dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kelas Moto3 bersama pasukan MT Helmets-MSi pada musim depan.