HAKIM Danish Akui Perlu Lebih Agresif
Pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi, Hakim Danish menamatkan saingan di Litar Barcelona-Catalunya di kedudukan ke-7, namun pencapaian membanggakan itu hadir dengan sedikit rasa ralat susulan kesilapan taktikal pada saat akhir
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/18/20261 min read


DETIK kecewa terlepas peluang menaiki podium pada Grand Prix (GP) Catalunya 2026, semalam tidak mematahkan semangat pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, sebaliknya dia berazam untuk menjadikan 'kesilapannya' itu sebagai 'senjata' memburu podium.
Pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu menamatkan saingan di Litar Barcelona-Catalunya di kedudukan ke-7, namun pencapaian membanggakan itu hadir dengan sedikit rasa ralat susulan kesilapan taktikal pada saat akhir.
"Pada pusingan terakhir, saya sebenarnya sudah hampir menaiki podium, namun malangnya saya membrek terlalu lewat di Selekoh 10," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.
Akur dengan kesilapan itu, prospek muda negara itu pantas mencari sudut positif dan menegaskan; "Saya ambil GP Catalunya ini sebagai pembelajaran berguna dan saya tidak akan berhenti berusaha serta terus bekerja keras untuk mencapai pentas podium satu hari nanti.
Menyedari persaingan di pentas Moto3 dunia menuntut tahap keberanian yang maksimum, Hakim kini tekad menjadikan pengalaman berharga di Barcelona sebagai batu loncatan untuk menajamkan lagi skilnya di atas litar.
"Selepas ini, saya perlu lebih agresif, terutama sekali ketika berada dalam kelompok hadapan, sama ada ketika mahu memintas pelumba lain atau semasa cuba mengekalkan rentak perlumbaan. Apapun, ini pengalaman terbaik buat saya," katanya.
Semalam, keupayaan Hakim Danish memacu jenteranya nyata mencuri tumpuan apabila dia berupaya membelah kelompok saingan dan secara konsisten memberi tekanan hebat kepada barisan pelumba elit di kelompok pendahulu.
Peluang bersaing secara di posisi hadapan itu jelas menjadi tonik berharga buat pelumba berusia 18 tahun itu untuk terus mematangkan tunggangannya, sekali gus memberi isyarat amaran menjelang baki saingan musim ini.

