HAKIM Danish Akui Tak Dapat Bermula Dengan Sempurna

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/5/20251 min read

KEJAYAAN memperoleh tempat kedua di Estoril, Portugal pada Kejuaraan Dunia Junior GP (JrGP) 2025 jelas satu pencapaian membanggakan buat pelumba negara, Hakim Danish Ramli yang turut mengakui ia tidak diraih dengan mudah.

Sekalipun bermula di barisan hadapan (petak ketiga), pelumba pasukan SIC Racing MSi itu terpaksa bergelut di awal perlumbaan yang membenarkan pemenang, Brian Uriarte berlumba bersendirian selaku pendahulu.

Pelumba kelahiran Terengganu itu berkata, dia berdepan kesukaran pada permulaan perlumbaan yang mengakibatkannya pada satu ketika ketinggalan.

"Saya tidak bermula dengan baik ketika perlumbaan dimulakan tetapi saya berjaya mengejar semula," kata Hakim Danish.

"Saya tahu Brian ada kelajuan yang lebih baik, dan dalam kumpulan tadi saya cuba ikut tetapi rentak kami agak perlahan.

"Jadi untuk perlumbaan seterusnya, saya akan cuba kekal bersama dia (Uriarte)."

Keputusan berada di podium adalah yang pertama buat Hakim Danish di JrGP. Ia turut mengikuti persembahan cukup positif pada Pusingan 1 kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di Jerez, Sepanyol, minggu lalu yang menyaksikan turut meraih dua kedudukan podium.

Selain Uriarte dari pasukan UAX Seventytwo Artbox dan Hakim Danish, turut berada di podium adalah pelumba Finland, Finland, Rico Salmela daripada pasukan Estrella Galicia 0.0 Honda.

Sebagai rekod, Hakim Danish pada penampilan sulungnya di JrGP musim lalu menamatkan saingan di kedudukan ke-15 keseluruhan selepas mengumpul 46 mata.

Seperti diketahui, pelumba berbakat itu pada musim ini diberikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk menamatkan kempen JrGP di kedudukan lima terbaik dan RBMRC di kedudukan tiga terbaik sebagai syarat bagi menempah slot ke Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 pada musim depan.

"Terima kasih kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan), Litar Antarabangsa Sepang, Terengganu Inc, RCB, ZK Racing, keluarga saya dan semua yang sentiasa menyokong saya," katanya.