HAKIM Danish Bangkit Raih Podium Perlumbaan 2 RBMRC Di Mugello
Kebangkitan menakjubkan diraih pelumba negara, Hakim Danish Ramli pada Perlumbaan 2 Pusingan 4 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 untuk meraih tempat kedua pada perlumbaan yang berlangsung di Litar Mugello, Itali
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/22/20251 min read


PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli bangkit daripada kekecewaan Perlumbaan 1 Pusingan 4 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 untuk meraih podium pada Perlumbaan 2 aksi yang berlangsung di Litar Mugello, Itali, hari ini.
Pada Perlumbaan 1, semalam, pelumba berusia 17 tahun itu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13.
Ia jelas jauh daripada prestasinya pada enam perlumbaan sebelum ini - 5 kedudukan naib juara dan 1 menang - sekali pun turut beberapa kali memimpin perlumbaan yang berlangsung cukup sengit dan menghiburkan.
Enggan membiarkan situasi sama berulang, pelumba kelahiran Terengganu itu tampil dengan strategi agak berbeza.
Dan ia jelas membuahkan hasil apabila Hakim Danish melepasi selekoh terakhir sebagai pendahulu perlumbaan sebelum terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan sebagai naib juara di belakang pelumba Indonesia, Vega Ega Pratama.
Lebih menarik, perbezaan antara dua pelumba berkenaan cukup tipis iaitu 0.01 saat.
Benat Fernandez dari Sepanyol menamatkan saingan di tempat ketiga.
Keputusan itu begitupun tidak menggugat kedudukan Hakim Danish sebagai pendahulu kedudukan teratas carta keseluruhan RBMRC musim ini selepas empat pusingan kejuaraan berlangsung.
