HAKIM Danish Bawa Pulang 13 Mata Dari JrGP Di Aragon
Selepas mengharungi Perlumbaan 1 yang positif, kebangkitan Hakim Danish Ramli pada Pusingan ke-4 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Aragon, Sepanyol direncatkan dengan masalah jentera
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/27/20251 min read


PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli mengharungi kempen bercampur baur pada Pusingan ke-4 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Aragon, Sepanyol, hari ini.
Pada Perlumbaan 1 yang berlangsung lebih awal, pelumba berusia 17 tahun itu tampil dengan persembahan positif apabila menamatkan saingan di tempat ke-4.
Begitupun, malang menimpanya apabila berdepan masalah jentera pada Perlumbaan 2 yang menyaksikannya menamatkan saingan dengan status DNF.
Apa yang lebih mengecewakan, pelumba pasukan SIC Racing-MSi itu sedang bersaing di kelompok utama yang dibarisi 10 pelumba malah pada satu ketika berada di kedudukan lima terbaik.
Dalam Perlumbaan 1 dimenangi perlumba Itali, Leonardo Zanni, pelumba kelahiran Terengganu itu yang memulakan perlumbaan di petak ke-7 memperoleh permulaan yang baik apabila berjaya meletakkan dirinya di kedudukan ketiga sebelum pusingan pertama berakhir.
Begitupun, persaingan sengit menyaksikannya Hakim Danish kekal di kedudukan sama selama beberapa pusingan sebelum memulakan langkah pada pusingan terakhir.
Tetapi, cubaannya tidak berjaya apabila pelumba Finland, Rico Salmela jelas memiliki jentera lebih bertenaga dan dibezakan dengan Hakim Danish kurang daripada satu saat di garisan penamat.
Pelumba Ireland, Casye O'Gorman di tempat kedua.
Dalam pada itu, Perlumbaan 2 dimenangi pendahulu kejuaraan, Brian Uriarte.
Apa yang menarik, Uriarte masih berada di belakang Hakim Danish sebelum jenteranya mengalami kerosakan ketika perlumbaan berbaki tujuh pusingan sebelum bangkit di pusingan terakhir.
Keputusan di Aragon menyaksikan Hakim Danish jatuh ke tangga tujuh keseluruhan dalam carta kedudukan pelumba dengan mengumpul 51 mata, ketinggalan 63 mata di belakang Uriate.
Pusingan 5 JrGP dijadual berlangsung di Litar Misano, Itali pada 21 September ini.
