HAKIM Danish Bawa Pulang 17 Mata Dari Catalunya
Pungutan 17 mata yang diperoleh daripada dua perlumbaan di Barcelona membolehkan Hakim Danish naik ke kedudukan ke-8 carta kedudukan pelumba JrGP dengan keseluruhan 74 mata.
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/2/20251 min read


PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli menutup aksi pusingan ke-6 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Litar Catalunya, Sepanyol dengan membawa pulang 17 mata berharga, sekali gus mengekalkan momentumnya menjelang pusingan penutup musim ini.
Anak jati Terengganu berusia 18 tahun yang mewakili pasukan SIC Racing MSI itu berdepan cabaran getir sejak sesi kelayakan apabila hanya mampu bermula dari petak ke-14 pada perlumbaan pertama.
Tetapi, semangat juangnya membuahkan hasil apabila berjaya menamatkan saingan di tempat kesembilan dan membawa pulang tujuh mata.
Sepanjang perlumbaan, Hakim Danish konsisten berada dalam kelompok hadapan, tetapi terpaksa akur dipintas pelumba tuan rumah, Joel Esteban, pada saat akhir..
Dalam perlumbaan kedua, Hakim yang bermula dari petak ke-13 mempamerkan kebangkitan malah pada satu ketika berjaya melonjak ke kedudukan kedua.
Bagaimanapun, ketika saingan berbaki tiga pusingan, pelumba muda itu dipintas beberapa pelumba lain sebelum insiden kemalangan di pusingan terakhir memaksa perlumbaan dihentikan dengan kibaran bendera merah.
Ketika itu, Hakim berada di kedudukan kesembilan dan selepas keputusan rasmi disahkan, kedudukannya kekal di tempat kesembilan untuk perlumbaan kedua.
Pungutan 17 mata yang diperoleh daripada dua perlumbaan membolehkan Hakim Danish naik ke kedudukan ke-8 dengan keseluruhan 74 mata.
Sebagai rekod, pusingan terakhir musim ini bakal berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Valencia pada 23 November ini.

