HAKIM Danish Bawa Pulang 3 Mata Dari COTA
Pelumba negara, Hakim Danish Ramli menampilkan kebangkitan menarik selepas menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) 2026 di COTA di tempat ke-13, awal pagi ini.
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/29/20261 min read


KEBANGKITAN menarik ditampilkan pelumba negara, Hakim Danish Ramli selepas menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) 2026 dalam kelompok pungutan mata selepas melepasi garisan penamat di COTA di tempat ke-13, awal pagi ini.
Keputusan itu membolehkan pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu meraih 3 mata kejuaraan berharga.
Lebih menarik, keputusan itu diperoleh sekali pun pelumba berusia 18 tahun itu terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-25 yang juga grid terakhir di COTA.
Hakim Danish terpaksa memulakan perlumbaan di petak terakhir selepas mengalami kemalangan pada sesi Kelayakan 1 (Q1), semalam tanpa dapat merekodkan sebarang catatan masa.
Begitupun, situasi itu jelas tidak melemahkan semangat pelumba kelahiran Terengganu itu yang memulakan perlumbaan dengan baik malah hanya memerlukan beberapa pusingan untuk berada dalam kedudukan pungutan mata.
Sementara itu, perlumbaan dimenangi pelumba Itali, Guido Pini (Leopard Racing) dalam persaingan menarik yang membabitkan 4 pelumba.
Pendahulu kejuaraan dari pasukan CFMOto Aspar, Maximo Quiles meraih kedudukan naib juara dan melengkapkan kedudukan podium adalah pelumba Sepanyol Alvaro Carpe dari Red Bull KTM Ajo.
Begitupun, pelumba negara jiran Indonesia, Vega Eda Pratama (Honda Team Asia) tidak bernasib baik selepas mengalami kemalangan.

