HAKIM Danish Bawa Pulang 4 Mata Dari Misano

Bergelut dengan masalah suspensi depan yang dihadapinya sejak Jumaat, Hakim Danish yang berlumba bersama pasukan SIC Racing MSi menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-15 dan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-12

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/21/20251 min read

TIADA kebangkitan menakjubkan daripada Hakim Danish Ramli pada Pusingan 5 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Misano, Itali, hari ini.

Tiba dengan motivasi tinggi dengan misi untuk kembali mencabar kelompok podium, situasi itu tidak berlaku malah pelumba berusia 18 tahun itu terpaksa bergelut termasuk dengan masalah komponen jentera sejak hari pertama saingan berlangsung.

Apa yang lebih mengecewakan, pelumba kelahiran Terengganu itu terpaksa berpuas hati menamatkan kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan pada pusingan kali ini dengan mengumpul empat mata keseluruhan daripada 50 mata maksimum yang ditawarkan.

Bergelut dengan masalah suspensi depan yang dihadapinya sejak Jumaat, pelumba pasukan SIC Racing MSi itu itu yang bermula di grid ke-15 pada Perlumbaan 1 menamatkan saingan di tempat ke-15 yang memberikannya tambahan satu mata.

Perlumbaan itu dimenangi pelumba Argentina, Marco Morelli dari pasukan GRYD - Mlav Racing yang juga kemenangan pertamanya di JrGP musim ini, manakala pendahulu kejuaraan, Brian Uriarte dan David Gonzalez melengkapkan podium.

Magis yang diharapkan Pada Perlumbaan 2 sekali lagi tidak menjadi apabila Hakim Danish yang kembali bermula di petak ke-17 dilihat bergelut dalam kelompok keempat perlumbaan.

Terdahulu, sekali pun menamatkan sesi Kelayakan di tempat ke-17, Hakim Danish memulakan Perlumbaan 1 di petak ke-15 berikutan penalti yang dikenakan kepada pelumba di depannya.

Berbalik kepada Perlumbaan 2, sekali pun pada satu ketika pemenang tempat ketiga keseluruhan RBMRC 2025 itu berjaya memintas untuk berada di kedudukan ke-11, dia terpaksa akur melepasi garisan penamat di tempat ke-12 sekali gus mengutip tiga lagi mata.

Perlumbaan itu diungguli Brian Uriarte dari pasukan UAX Seventytwo ARTBOX, dengan seorang lagi pelumba Sepanyol, Jesus Rios di tempat kedua dan Rico Salmela dari Finland ketiga.

Keputusan di Misano itu menyaksikan kedudukan Hakim Danish dalam carta keseluruhan pelumba jatuh ke tangga kesembilan dengan kali terakhir Hakim Danish menaiki podium adalah pada pusingan pembukaan di Estoril, Portugal pada Mei lalu.

Pusingan keenam JrGP dijadualkan berlangsung di Barcelona, Sepanyol pada 2 November depan.