HAKIM Danish Berada Di Eropah Lebih Lama Musim 2025
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/24/20241 min read


PELUMBA muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli seperti diketahui akan kekal beraksi di dua kejuaraan peringkat umur terkemuka dunia, Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) dan Kejuaraan Dunia FIM Junior GP (JrGP) pada musim depan.
Situasi itu akan membuatkan pelumba kelahiran Terengganu itu sekali lagi akan berkelana ke Eropah.
Tetapi tidak seperti tahun ini yang menyaksikan pelumba berusia 17 tahun itu perlu beberapa kali berada di Malaysia berikutan situasinya yang perlu mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia tidak berlaku pada musim 2025.
Justeru menurut Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC PETRONAS), Azhan Shafriman Hanif, pihaknya merancang untuk Hakim Danish berada lebih lama di Eropah.
Bagi Shafriman, perkara itu dapat memastikan Hakim Danish mendapat persediaan rapi bagi menghadapi perlumbaan dan prestasinya kekal kompetitif.
Pada tahun ini, Hakim Danish berjaya menunjukkan prestasi cukup positif terutama pada permulaan musim tetapi cabarannya sedikit mengendur menuju pertengahan saingan.
Hakim Danish yang juga juara Asia Talent Cup (ATC) 2022 menamatkan kempen RBMRC musim ini di kedudukan keenam keseluruhan termasuk meraih kemenangan ketika di Aragon, Sepanyol selain meraih tiga podium.
Tetapi penampilan sulungnya di JrGP berakhir di kedudukan ke-15 keseluruhan selepas mengumpul 46 mata.
Lebih mengecewakan, pelumba itu turut terlepas pusingan terakhir di Jerez selepas terbabit kemalangan ketika berada di Malaysia yang mengakibatkan mengalami kecederaan agak serius di bahagian jari.
