HAKIM Danish Beraksi Di GP Malaysia 2024?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/1/20241 min read

PELUMBA muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli berpeluang membuat debut di perlumbaan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia seawal tahun ini dan lebih menarik, di Grand Prix (GP) Malaysia 2024.

Memetik laporan BHarian, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif menjelelaskan pihaknya bersedia untuk menawarkan slot itu kepada pelumba kelahiran Terengganu itu berpandukan kepada prestasinya.

Dan apa yang lebih menarik, peluang berkenaan bukan saja di salah satu pusingan Kejuaraan Motosikal Dunia pada musim ini, namun berkemungkinan di Petronas Litar Antarabangsa Sepang ketika GP Malaysia 2024 yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 3 November ini.

"Kalau tahun ini ada peluang, kita akan sediakan dia slot untuk wild card. Itupun sekiranya ada bajet lebih, kalau berpeluang, prestasinya bagus dan kita akan bawa dia ke Kejuaraan Motosikal Dunia.

"InsyaAllah di Malaysia tetapi kalau ada (peluang) di tempat lain, kita juga akan minta Zulfahmi Khairuddin (Pengurus Pasukan ZK Racing) untuk melihat ke arah itu," kata Shafriman berdasarkan laporan BHarian.

Hakim Danish yang juga pelumba program pembangunan bakat SIC ketika ini beraksi di dua pentas antarbangsa - Kejuaraan Dunia JuniorGP (JrGP) dan juga Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC).

Pada aksi Pusingan 1 RBMRC di Jerez, Sepanyol, minggu lalu, pelumba berusia 17 tahun itu menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-9 sebelum merangkul podium (tempat ke-2) pada Perlumbaan 2.

Di Pusingan 1 JrGP di Misano, Itali, juara keseluruhan Asia Talent Cup 2022 itu menamatkan saingan di kedudukan pungutan mata (ke-9 dan ke-15).

Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan SIC Racing - MSi menggunakan jentera KTM pada minggu ini dijadual beraksi di Pusingan 2 JrGP di Estoril, Portugal.