HAKIM Danish Bergelut Di Mugello, Qabil Akui Buat Kesilapan Di Valencia!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/1/20241 min read

HAKIM Danish Ramli mengakui tidak memperoleh permulaan yang baik pada aksi Perlumbaan 1 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 di Mugello, Itali, hari ini memberinya kesukaran untuk mencapai keputusan yang baik di pusingan berkenaan.

Sekalipun berjaya bangkit di pertengahan perlumbaan, pelumba berusia 17 tahun dari Terengganu itu berdepan pula dengan masalah jentera yang menyaksikannya terpaksa berpuas hati menamatkan aksi di kedudukan ke-7.

Saya tidak mendapat permulaan yang bagus yang menyebabkan saya kehilangan banyak kedudukan. Pada pertengahan perlumbaan, saya cuba bangkit dan cuba memotong pelumba di depan saya satu demi satu dan berjaya sampai di kelompok depan.

Selepas itu, saya cuba untuk bertenang dan berfikir untuk ke depan untuk mencari posisi yang bagus di pusingan terakhir.

Dalam perlumbaan, saya agak bergelut dengan jentera namun saya cuba atasi dengan gaya tunggangan saya dan dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-7," kata Hakim.

Perlumbaan di Mugello dimenangi pelumba Sepanyol, Maximo Quiles diikuti Brian Uriate kedua dan Alvaro Carpe melengkapkan kedudukan podium.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara yang juga beraksi di Eropah di perlumbaan Moto4 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2024 di Valencia, Qabil Irfan Ramli mengakui kesilapan yang dilakukan menyaksikannya terpisah daripada kelompok depan.

Begitupun, pelumba cilik dari Terengganu itu masih berjaya menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan yang baik, di tangga ke-4.

"Saya memperoleh permulaan yang baik dan dapat bersaing dengan kelompok depan tapi ada lakukan kesilapan yang menyebabkan timbul jarak. Doakan saya untuk Perlumbaan 2," katanya.

Sebagai info, perlumbaan Moto4 ESBK 2024 di Valencia, dimenangi pelumba Itali, Leornardo Casadei diikuti Enzo Zaragoza dari Sepanyol di tangga kedua dan Eric Ruz ketiga.

Perlumbaan 2 bagi kedua-dua kejuaraan dijadual berlangsung, hari ini.