HAKIM Danish Bersemangat Manfaat Peluang Terakhir
Sasaran tinggi diletakkan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menuju pusingan terakhir Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 hujung minggu ini iaitu sapu bersih kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan di Litar Misano, Itali
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/9/20251 min read


PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli menuju pusingan terakhir Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 hujung minggu ini dengan satu misi - sapu bersih kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan di Litar Misano, Itali.
Sedar cabaran getir menantinya di Itali nanti, pelumba berusia 18 tahun dari Terengganu itu tetap optimis mampu melakukannya.
Berbaki 50 mata maksimum yang boleh dikutip, Hakim kini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan mengumpul keseluruhan 165 mata hanya 26 mata di belakang pendahulu dari Sepanyol, Brian Uriarte (191 mata) dan 5 mata di belakang pelumba Indonesia, Vega Eda Pratama (170 mata).
Justeru jika Hakim berjaya menamatkan kedua-dua perlumbaan di tempat pertama dengan Uriarte tidak mampu untuk menaiki podium, sejarah bakal tercipta iaitu juara RBMRC pertama dari Malaysia.
"Saya lebih bersemangat untuk berlumba pada pusingan akhir ini. Sekarang saya berada di kedudukan ketiga kejuaraan. Jadi saya masih berpeluang untuk mengejar kejuaraan dengan perbezaan 26 mata.
"Ketika ini dalam fikiran saya, hanya tempat pertama, tempat pertama," kata bekas juara Asia Talent Cup itu.
Bagi memastikan impiannya itu menjadi kenyataan, Hakim Danish berkata dia sudah menjalani persiapan rapi sebelum berlepas ke Itali di Malaysia yang merangkumi pelbagai aspek fizikal dan mental.
"Di Malaysia, latihan berjalan sangat bagus merangkumi latihan di atas jentera, sesi di gimnasium, larian dan juga berbasikal," katanya.
Selain memburu gelaran juara RBMRC, pusingan akhir ini juga menjadi penentu masa depan Hakim Danish di mana KPI yang ditetapkan terhadapnya adalah sekurang-kurangnya menamatkan musim di kedudukan tiga terbaik keseluruhan - syarat penting untuk membuka laluan ke saingan Moto3 musim depan.
