HAKIM Danish Buru Podium Berganda di Misano
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/6/20241 min read


KEMENANGAN di Aragon, Sepanyol minggu lalu jelas melonjakkan semangat pelumba negara, Hakim Danish Ramli yang meletakkan sasaran tinggi memburu podium pada kedua-dua perlumbaan aksi penutup tirai kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RMRC) 2024 di Misano, minggu ini.
Pelumba kelahiran Terengganu itu meraih kemenangan sulung kariernya di RBMRC apabila dengan menjuarai Perlumbaan 2 aksi Pusingan 6 di Aragon, Sepanyol, minggu lalu.
Sekalipun kejayaan yang diperoleh berlangsung dalam keadaan litar basah, ia jelas satu peningkatan semangat yang tinggi buat pelumba berusia 17 tahun itu yang mahu momentum sama dapat diteruskan di Misano.
"Saya amat gembira apabila dapat kembali bersaing di kelompok depan seperti sebelum ini," kata Hakim Danish. "Sasaran saya adalah untuk dapatkan podium pada kedua-dua perlumbaan dan berharap untuk dapat mencapainya.
"Saya berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan saya dan saya akan buat sehabis baik."
Sebagai rekod, Hakim Danish sebelum ini pernah menaiki podium di Jerez, Sepanyol dan Le Mans, Perancis.
Mengisi tempat ke-6 keseluruhan ketika ini, seperti diketahui, peluang untuk Hakim Danish mengisi posisi tiga terbaik kejuaraan itu - yang turut memberikan peluang beraksi di Moto3 musim depan - secara matematiknya masih belum tertutup.
Namun secara realistiknya peluang itu tipis berikutan jurang 47 mata yang dimiliki pelumba itu ketika ini berbanding pelumba yang mengisi tempat ketiga, Valentin Perrone dari Argentina.
Untuk berpeluang mendapatkan kedudukan itu, Hakim Danish perlu melakukan keajaiban iaitu menang kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan di Misano sambil berharap rakan sepelatihnya itu tidak mengutip sebarang mata.
Berpandukan syarat perlumbaan Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia, Hakim Danish masih belum layak untuk beraksi di kejuaraan itu pada musim depan berdasarkan had umur namun pelumba yang menamatkan kempen RBMRC 2024 di kedudukan tiga teratas diberikan pengecualian.
