HAKIM Danish Cemerlang Raih Podium Di Misano, Tapi...

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/7/20241 min read

PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli berjuang bermati-matian untuk mendapatkan kemenangan pada Perlumbaan 1 Red Bull MotoGP Rookis Cup (RBMRC) 2024 di Misano, Itali, hari ini sebelum melepasi garisan penamat di tempat ketiga.

Kejayaan berada di pentas podium itu - yang keempat buat buat pelumba kelahiran Terengganu itu musim ini - cukup mengagumkan jika dinilai daripada tahap persaingan pada perlumbaan berkenaan.

Begitupun, ia turut menamatkan peluang pelumba berusia 17 tahun itu untuk menamatkan kejuaraan di kedudukan tiga terbaik keseluruhan - kejayaan yang membenarkannya untuk beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 lebih awal.

Tampak bergelut di awal perlumbaan selepas memulakan perlumbaan di petak ke-11, Hakim Danish kemudian mengorak langkahnya di pertengahan saingan.

Dan selepas berjaya mengejar kedudukan di kelompok depan, Hakim Danish tidak lagi menoleh ke belakang untuk memburu kemenangan sebelum berjaya melepasi garisan penamat di tempat ketiga.

"Ia perlumbaan yang amat sukar pada hari ini. Ini bukan litar yang mudah jadi saya cuba memahaminya setiap sesi, sentiasa mahu terus laju," kata Hakim Danish.

"Saya bermula di bahagian belakang, tetapi saya berjaya mengejar satu demi satu pelumba di depan. Saya cuba untuk bertenang, cuba kekal berada dalam kumpulan dan pada pusingan terakhir, saya cuba mencari kemenangan tetapi agak sukar.

"Tetapi ia tidak apa kerana saya masih berada di podium. Saya akan cuba lagi pada Perlumbaan 2 esok," katanya.

Kemenangan di Misano menjadi milik pelumba Sepanyol, Brian Uriarte dengan kejayaannya memanjangkan perlumbaan pemburuan kejuaraan keseluruhan RBMRC 2024 dengan Alvaro Carpe ke Perlumbaan 2, esok.

Rakan sepelatih Hakim Danish, Valentin Perrone mendapatkan tempat kedua.