HAKIM Danish Cipta Kebangkitan Sensasi, Sambar Petak Ke-2 Di Mugello

Keputusan cukup positif itu hadir selepas Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan AEON Credit MT Helmets MSi mengharungi detik sukar malah terjatuh sebanyak dua kali termasuk pada sesi Latihan pada Jumaat

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/30/20261 min read

JAGUH Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan kebangkitan luar biasa di Mugello apabila berjaya menempah petak permulaan di barisan hadapan ke-2 pada musim ini pada perlumbaan Grand Prix (GP) Itali 2026, esok.

Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi berkenaan mengharungi detik sukar malah terjatuh sebanyak dua kali termasuk pada sesi Latihan pada Jumaat.

Selepas terpaksa mengharungi sesi Kelayakan 1 (Q1) susulan insiden itu, pelumba kelahiran Terengganu itu begitupun tidak bermasalah untuk melayakkan diri ke-Q2 sebagai pelumba ke-2 terpantas.

Dan pada aksi Q2, prestasi itu diteruskan untuk mencatatkan masa ke-2 terpantas sekali gus meletakkannya di petak ke-2 perlumbaan, esok.

Hakim menyifatkan keputusan itu sebagai satu tonik tambahan buat dirinya.

"Ini adalah satu sesi kelayakan yang sangat positif. Ini adalah kali kedua saya memulakan perlumbaan dari barisan hadapan pada musim ini.

"Selepas mengalami dua kemalangan semalam, saya berasa tidak begitu selesa dengan jentera sepenuhnya, jadi kejayaan melayakkan diri di barisan hadapan ini pastinya satu bonus," katanya.

Catatan terpantas pada sesi kelayakan itu menjadi milik pelumba pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa yang akan bermula di petak pertama.

Melengkapkan barisan hadapan di petak ketiga ialah Joel Kelso dari pasukan GRYD - MLav Racing, iaitu pasukan sama yang turut disertai oleh pelumba muda negara dalam saingan Moto4 Kejuaraan Eropah (CEV), Qabil Irfan Azlan.