HAKIM Danish, Danial Syahmi Jalani Ujian Persendirian Di Aragon

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/17/20241 min read

PENGURUS ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang juga Ketua pasukan SIC Racing-Msi mengesahkan kedua-dua pelumba SIC Racing, Hakim Danish Ramli dan Danial Syahmi Shahril akan menjalani ujian persendirian di Aragon, Sepanyol awal bulan depan.

Menurut Zulfahmi yang juga bekas pelumba Moto3 negara, ujian berkenaan dijalankan meningkatkan semula prestasi pelumba di bawah pengurusannya selepas mengharungi kempen sukar di Pusingan 5 Kejuaraan Dunia JuniorGP (JrGP) 2024 di Jerez, Sepanyol, minggu lalu.

Mengulas prestasi kedua-dua pelumbanya di Jerez, Zulfahmi mengakui pihaknya mengharapkan keputusan yang jauh lebih baik daripada yang pernah dicapai sebelum ini.

"Untuk pasukan SIC Racing-MSi, kami sebenarnya mengalami masalah kesihatan dimana kesemua krew pasukan termasuk Hakim Danish berada dalam keadaan tidak sihat dan demam panas," kata Zulfahmi.

"Situasi itu menyukarkan Hakim Danish untuk menunjukkan prestasi terbaiknya di litar. Begitupun, Hakim Danish dapat melayakkan diri ke Kelayakan 2 dan berada di petak ke-9 dan menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-8.

"Pada Perlumbaan 2, kami mengalami masalah teknikal dan mengakibatkan Hakim Danish terjatuh dan gagal menamatkan perlumbaan," katanya.

Mengulas persembahan Danial Syahmi yang beraksi bersama pasukan Junior Talent Team, Zulfahmi mengakui banyak perkara yang perlu dipertingkatkan pelumba kelahiran Pulau Pinang itu.

"Untuk Danial Syahmi ada banyak perkara yang perlu kami tingkatkan di mana dia tidak menunjukkan keputusan yang positif sejak hari pertama di Jerez," kata Zulfahmi.

"Saya dan juga pasukan Danial Syahmi iaitu Junior Talent Team perlu menganalisa data supaya dia kembali kompetetif di pusingan seterusnya di Aragon pada bulan Oktober.

"Secara keseluruhan pusingan ke-5 tidak begitu baik untuk kami tetapi kami akan lakukan ujian persendirian pada 2 dan 3 Oktober di litar Aragon. Saya harapkan ujian persendirian yang kami lakukan akan menaikkan semula prestasi pelumba SIC Racing sebelum pusingan seterusnya," katanya.

Sebagai info, Pusingan 6 JrGP 2024 dijadual berlangsung pada 11 hingga 13 Oktober 2024 di Litar Motorland Aragon.