HAKIM Danish, Danial Syahmi Sasar Podium Pusingan Terakhir RBRC 2023 Di San Marino
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/6/20231 min read


SASARAN sama - mendaki podium - diletakkan kedua-dua pelumba negara yang beraksi di Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBRC) 2023, Hakim Danish Ramli dan Danial Syahmi Shahril menjelang pusingan penutup tirai di San Marino, minggu ini.
Akur kedudukan tiga teratas kejuaraan keseluruhan mustahil lagi untuk dicapai, begitupun sasaran podium bukan sesuatu yang mustahil terutama buat Hakim Danish yang pernah menaikinya sebelum ini.
Mengakui tak sabar dan teruja untuk beraksi di pusingan terakhir RBRC musim ini, Hakim Danish yang tak berjaya mengutip sebarang mata di Red Bull Ring (pusingan sebelum ini) berharap dia dapat memberikan yang terbaik.
"Saya cuba untuk mendapatkan podium, dan menamatkan musim dengan keputusan yang baik," kata pelumba kelahiran Terengganu berusia 16 tahun itu.
Sebelum ini, Hakim Danish berjaya mencipta kejutan pada pusingan pertama RBRC 2023 dengan mendapat tempat ketiga pada perlumbaan 2 di Algarve, Portugal.
Sementara itu, Danial Syahmi turut berharap podium pertamanya di RBRC berjaya dicapai di Litar Misano.
"Saya tidak sabar untuk kembali menunggang jentera dan berikan yang terbaik," kata Danial Syahmi yang terlepas 4 perlumbaan RBRC 2023 di Jerez dan Le Mans susulan kecederaan.
Ketika ini, Hakim Danish menghuni tangga ke-11 kedudukan keseluruhan selepas mengumpul 67 mata daripada 11 perlumbaan manakala Danial Syahmi di tangga ke-14 dengan 40 mata.








