HAKIM Danish, Danial Syahmi Tekad Beri 100 Peratus Di Valencia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/2/20231 min read

DUA bakat muda negara, Hakim Danish Ramli dan Danial Syahmi Shahril bakal menamatkan kempen di Eropah, hujung minggu ini di pusingan akhir Kejohanan FIM JuniorGP (JrGP) dan ETC di Valencia, Sepanyol.

Dijadual berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Hakim Danish yang beraksi di ETC (European Talent Cup) akan mengharungi satu perlumbaan. Manakala Danial Syahmi yang beraksi dalam kempen JrGP bersama pasukan Asia Talent Cup akan bersaing dalam dua perlumbaan.

Tampil dengan persembahan cukup mengujakan malah menaiki podium pada Pusingan 1, prestasi Hakim tampak sedikit merudum selepas dipalit beberapa siri kejatuhan dan penalti.

Terperosok ke tangga ke-17 keseluruhan, Hakim berharap penampilan terakhirnya dalam perlumbaan itu dapat memberikannya sesuatu dan membuktikan kemampuan yang dimilikinya.

"Saya sudah membuat persiapan dari segi latihan dan fizikal saya di Sepanyol. Jadi, saya sudah bersedia.

"Saya akan buat yang terbaik, berikan 100 peratus, dan akan cuba bersaing bersama pelumba-pelumba di kelompok hadapan. Jangan lupa saksikan perlumbaan saya dan saya harap rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan saya.”

Sementara itu, Danial Syahmi yang turut bergelut dengan prestasi bertekad untuk menampilkan persembahan yang terbaik di Valencia sekaligus mengubat 'duka' di Aragon sebelum ini.

"Saya akan buat yang terbaik dari perlumbaan-perlumbaan yang lepas dan saya akan berikan segalanya yang saya ada untuk kekal fokus dan berikan saingan yang sengit dalam pusingan ini.

"Sasaran saya adalah untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan yang terbaik untuk saya tahun ini," kata Danial yang ketika ini menghuni tangga ke-20 kedudukan pelumba di JrGP.