HAKIM Danish, Danial Syahmi Tutup Kempen ETC, JrGP 2023 Di Tangga Ke-17, 20 Keseluruhan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/6/20231 min read
TIADA kebangkitan luar biasa dapat ditunjukkan dua pelumba negara yang berkelana ke Eropah musim ini, Hakim Danish Ramli dan Danial Syahmi Shahril pada pusingan penutup tirai 2023 di Valencia, semalam.
Pada perlumbaan terakhir ETC (European Talent Cup) 2023, Hakim Danish menamatkan perlumbaan di tangga ke-10 dan mengakhiri kempen di tangga ke-17 keseluruhan.
Danial Syahmi yang beraksi dalam kempen JrGP (JuniorGP) 2023 menamatkan Perlumbaan 1 di tangga ke-22 sebelum bangkit mengakhiri Perlumbaan 2 di tangga ke-15.
Dalam carta keseluruhan, Danial menghuni kedudukan ke-20 selepas mengutip 20 mata.
Mengulas prestasinya musim ini, Hakim mengakui dia agak kompetitif di awal musim sebelum prestasinya mengendur sedikit di pertengahan saingan.
"Pada awal musim, di Estoril (Portugal), saya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga dan berada di podium. Saya agak kompetitif di awal musim tetapi kurang sedikit ketika di pertengahan musim.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan Monlau kerana menyediakan jentera yang baik untuk saya minggu ini dan juga kepada semua penaja saya iaitu SIC, ZK Racing, KBS dan Terengganu Inc. Tidak lupa juga untuk keluarga saya dan semua yang menyokong saya.”
Gelaran keseluruhan ETC 2023 dimenangi pelumba Sepanyol, Maximo Quiles dari pasukan Aspar Junior selepas mengumpul 187 mata. Hakim yang berlumba bersama pasukan Monlau Motul menamatkan kempen dengan 30 mata.
Sementara itu, Danial sekali lagi terpaksa memulakan Perlumbaan 1 dari kawasan 'Pit Lane' susulan penalti yang dikenakan kepadanya atas kesilapan ketika sesi latihan dan kelayakan.
"Pada perlumbaan 2, saya bergelut untuk kekal berada dalam kelompok pelumba dan saya kurang yakin dengan jentera. Juga keadaan angin yang kuat. Saya cuba untuk untuk memberi tekanan, tetapi saya lakukan banyak kesilapan.
"Saya berikan yang terbaik dan berjaya mendapat 1 mata yang bermakna bagi saya kerana ini adalah perlumbaan akhir saya di Eropah pada tahun ini dan ini adalah perlumbaan akhir untuk Kejohanan JuniorGP. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan saya terutama keluarga saya yang sentiasa menyokong saya," kata Danial yang beraksi bersama pasukan Asia Talent.
Kejuaraan JrGP 2023 menjadi milik pelumba Sepanyol, Angel Piqueras dari pasukan Team Estrella Galicia 0,0 selepas mengumpul 220 mata.