HAKIM Danish Dapat Peluang 'Asah Taji' Di ESBK

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/12/20231 min read

SEBAGAI cara untuk memberikan lebih 'mileage' kepada Hakim Danish Ramli, pelumba berbakat negara itu diberi peluang untuk 'mengasah tajinya' di Kejohanan Superbike Sepanyol (ESBK) 2023 di Jerez, Sepanyol, hujung minggu ini.

Begitupun, Hakim akan berlumba dalam kategori Pre-Moto3 bersama pasukan Frando Racing VHC Team.

Tampil dengan prestasi mengujakan di awal musim dalam kedua-dua kejuaraan yang disertainya musim ini di Eropah (Red Bull Rookies MotoGP Cup dan European Talent Cup), tetapi berlaku penurunan prestasi di pertengahan dan penghujung musim buat pelumba kelahiran Terengganu itu.

Selepas memperoleh aksi pembukaan yang mengujakan di RBRC, pelumba berusia 16 tahun itu menutup kempen kejuaraan itu di tangga ke-12 keseluruhan.

Dan dalam perlumbaan Pusingan 6 ETC di Aragon, Sepanyol minggu lalu, Hakim tak berjaya mengutip mata dalam kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan.

Mengulas mengenai peluang yang diberikan kepada Hakim, Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata inisiatif itu diambil dengan tujuan memberikan Hakim pengalaman sebanyak yang boleh berlumba bersama pelumba-pelumba Eropah.

"Walaupun Hakim Danish sudah banyak pengalaman berlumba di Eropah, saya tetap percaya bahawa saya perlu mengambil setiap peluang yang ada. Minggu ini, saya diberikan peluang untuk meletakkan Hakim Danish dalam kategori Pre-Moto3, dan saya harap kita dapat pelajari dan mengambil perkara positif daripada perlumbaan ini."

Sebagai info, Hakim Danish tidak berpeluang beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kategori Moto3 susulan had umur yang ditetapkan oleh penganjur kejuaraan sekalipun menjuarai Asia Talent Cup 2022.