HAKIM Danish Dilantik Duta Taman Tema Genting SkyWorlds
Genting SkyWorlds ketika majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) menyifatkan pelantikan Hakim Danish mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong serta mengiktiraf rakyat Malaysia Menerusi inisiatif 'Inspirasi Anak Malaysia'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/30/20261 min read


PRESTASI yang ditampilkan pelumba negara, Hakim Danish Ramli khususnya pada kempen Moto3 musim ini terus mendapat pengiktirafan apabila dia secara rasmi dilantik sebagai Duta kepada taman tema Genting SkyWorlds.
Genting SkyWorlds ketika majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) menyifatkan pelantikan pelumba berusia 19 tahun itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong serta mengiktiraf rakyat Malaysia Menerusi inisiatif 'Inspirasi Anak Malaysia'.
Selain itu, kerjasama juga turut meraikan perjalanan cemerlang Hakim Danish dari kancah perlumbaan termpatan ke pentas perlumbaan motosikal antarabangsa, sekali gus dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda Malaysia untuk berani mengejar impian serta menggapai kejayaan.
"Saya amat berbesar hati dan bersyukur kepada Taman Tema Genting SkyWorlds kerana memberikan kepercayaan kepada saya serta memilih saya sebagai duta," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.
"Kerjasama ini bukan sekadar mengenai kerjaya perlumbaan saya, malah merupakan satu platform untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Malaysia agar berani bermimpi, berusaha gigih dan tidak pernah berputus asa dalam mengejar cita-cita mereka.
"Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Taman Tema Genting SkyWorlds, berkongsi perjalanan saya serta terus mengharumkan nama Malaysia, bukan sahaja di litar, malah di luar litar juga."
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee, berkata, pelantikan Hakim Danish sebagai Duta membuka lembaran baharu dalam meraikan kecemerlangan bakat sukan negara di samping mencipta pengalaman yang lebih bermakna dan inspiratif buat para pengunjung.
"Hakim Danish melambangkan keazaman, cita-cita dan ketabahan yang menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia. Sebagai atlet muda yang terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, dia adalah rakan kerjasama yang amat sesuai untuk Taman Tema Genting SkyWorlds serta duta yang tepat bagi jenama kami," katanya.
"Selain meraikan pencapaian beliau, kerjasama ini membolehkan kami mendekati masyarakat menerusi kisah kejayaan yang mencerminkan semangat Inspirasi Anak Malaysia."
Selain pelantikan Hakim Danish, Taman Tema Genting SkyWorlds turut mengumumkan tarikan baharunya yang turut memiliki elemen perlumbaan - Mad Ramp Peak – Full Throttle Racing yang dijadual dibuka sekitar Oktober depan serta koleksi cenderamata edisi terhad hasil kolaborasi bersama Hakim Danish.

