HAKIM Danish Dinamakan Pelumba SIC Racing-MSi Di JrGP 2024, Tayang 'Liveri' Di Madrid

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/12/20241 min read

PELUMBA berbakat negara, Hakim Danish Ramli secara rasmi dinamakan sebagai pelumba pasukan SIC Racing-MSi dan dinaikkan 'pangkat' beraksi dalam kejuaraan FIM JuniorGP (JrGP) 2024.

Sebagai info, pasukan SIC Racing-MSi adalah pasukan hasil kerjasama dengan pasukan MT Helmets-Msi, pasukan yang pernah diwakili pelumba Moto3 negara, Syarifudin Azman atau Damok musim lalu.

Lebih menarik, majlis pelancaran dan pengenalan 'Liveri' baharu pasukan SIC Racing-MSi turut berjalan serentak dengan majlis pengenalan pasukan MT Helmets-Msi di Madrid, Sepanyol, hari ini.

Tidak lagi 'berseorangan', Hakim Danish tahun ini akan turut ditemani bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin yang turut bertindak sebagai pengurus pasukan SIC Racing-MSi.

Pasukan itu turut dikuatkan dengan tiga krew dari Malaysia dan seorang krew dari Eropah.

Sebelum ini, Hakim Danish yang juga juara Asia Talent Cup 2022 beraksi dalam perlumbaan European Talent Cup (ETC) selama dua tahun berikutan had umur.

"Membuat penampilan pertama saya dalam kategori JuniorGP musim ini adalah impian yang menjadi kenyataan," kata Hakim Danish. "Saya sangat berterima kasih kepada MTHelmets-MSi dan ZK Racing kerana memberi saya peluang ini.

"Sepanjang musim cuti saya banyak membuat latihan untuk membina asas yang baik sebagai persediaan sebelum musim bermula.

"Saya mahu melakukan yang terbaik untuk diri saya, pasukan saya dan belajar sebanyak yang mungkin untuk pamer aksi cemerlang walaupun dalam tahun rookie. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada SIC dan KBS kerana terus mempercayai dan menyokong saya.”

Sebagai info, pasukan 'induk' MT Helmets-MSi pada musim ini bukan saja beraksi dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia, namun Moto2.

Untuk kelas Moto3, pasukan itu diwakili Ivan Ortola dan Ryusei Yamanaka manakala dalam kelas Moto2, ia dipacu dua pelumba iaitu Ai Ogura dan Sergio Garcia di Moto2.

Selain itu, pasukan itu turut beraksi dalam perlumbaan MotoE menerusi Miquel Pons dan Oscar Gutierrez.

Musim ini, kejuaraan FIM JuniorGP akan bermula membuka tirainya di di Emilia-Romagna, Itali 21 April 2024.