HAKIM Danish DNF Di Balaton Park, Kena Rempuh Seawal Pusingan Pertama
Biarpun menampilkan semangat juang tinggi untuk kembali berlumba dan berjaya membawa jenteranya ke pit pasukan untuk diperbaiki, jurang yang terlalu besar dengan kumpulan pelumba menyaksikan Hakim Danish terpaksa menarik diri pada pusingan ke-12
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/7/20261 min read


HASRAT pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli untuk melakar keputusan positif di Grand Prix (GP) Hungary 2026 lebur selepas menjadi mangsa keadaan apabila terbabit dalam insiden kemalangan seawal pusingan pertama di Litar Balaton Park, hari ini.
Pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSI yang memulakan perlumbaan dari petak ke-19 itu berdepan nasib malang apabila jenteranya dirempuh dari arah belakang oleh pelumba Afrika Selatan, Ruche Moodley selepas beberapa selekoh perlumbaan bermula.
Kemalangan itu menyebabkan pelumba kelahiran Terengganu itu terjatuh dan berlaku kerosakan terhadap jenteranya.
Tetapi biarpun menampilkan semangat juang tinggi untuk kembali berlumba dan berjaya membawa jenteranya ke pit pasukan untuk diperbaiki, jurang yang terlalu besar (tiga pusingan) dengan kumpulan pelumba menyaksikannya terpaksa menarik diri pada pusingan ke-12.
Dan keadaan itu menyaksikan kempen Hakim Danish di Balaton Park diklasifikasikan sebagai tidak menamatkan perlumbaan (DNF).
Apa yang pasti, keputusan hari ini melengkapkan hujung minggu yang cukup sukar dan mencabar buat Hakim Danish di bumi Hungary.
Pada sesi Latihan pada Jumaat, Hakim Danish tidak berjaya meletakkan diri dalam kelompok layak terus ke Kelayakan 2 (Q2).
Pada Kelayakan semalam pula, dia gagal menempah tiket ke sesi kelayakan kedua (Q2) selepas sekadar menamatkan saingan kelayakan pertama (Q1) di kedudukan ke-5 dengan hanya 4 pelumba terbaik layak ke Q2 selepas sesinya 'diganggu'.
Pusingan seterusnya dijadual berlangsung di Rep Czech.

