HAKIM Danish 'DNF' GP British 2026

Kemalangan yang menimpa Hakim Danish pada pusingan ke-7 itu berlaku selepas pelumba CIP Power, Adrian Cruces terjatuh daripada jenteranya dan merempuh jentera ditunggang pelumba negara yang mengakibatkannya terjatuh

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/9/20261 min read

PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli terpaksa menelan hakikat pahit apabila tidak berjaya menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Britain 2026 Litar Silverstone selepas terbabit dengan kemalangan.

Kemalangan di pusingan ke-7 itu berlaku selepas pelumba CIP Power, Adrian Cruces terjatuh daripada jenteranya dan merempuh jentera ditunggang Hakim Danish yang mengakibatkan pelumba negara itu terjatuh.

Pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu menurut pengulas kembali menyertai perlumbaan namun jurang terlalu jauh menyebabkannya tidak meneruskan saingan.

Keputusan itu menyaksikan momentum positif Hakim Danish yang berjaya mengutip mata dalam 3 perlumbaan terakhir turut terhenti.

Dan kegagalan mengutip mata di Silverstone turut memberi kesan kepada kedudukan keseluruhannya apabila dia turun satu anak tangga ke tempat ke-8 dengan 86 mata.

Pelumba Argentina, Valentin Perrone yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-3 kini memintas Hakim Danish untuk menduduki tangga ketujuh selepas mengumpul 95 mata.

Perlumbaan yang dipenuhi dengan pelbagai drama kemalangan itu dimenangi oleh pelumba Sepanyol, David Almansa dari pasukan Intact GP dan pelumba pasukan KTM Ajo, Alvaro Carpe ke-2.