HAKIM Danish Enggan Terbeban Tekanan

Pelumba muda negara, Hakim Danish ketika ini sedang memimpin carta kedudukan pelumba Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 dan menghuni tangga ke-7 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) musim 2025

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/11/20251 min read

HAKIM Danish
HAKIM Danish

SELEPAS berehat seketika di tanah air, pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli kembali ke Sepanyol dengan semangat membara bagi mengharungi baki saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) dan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) musim 2025.

Pendahulu carta RBMRC itu berusia 18 tahun itu mengakui dia kini berada pada tahap terbaik dari segi mental dan fizikal untuk meneruskan misi memburu kejayaan yang disasarkan.

Pelumba kelahiran Terengganu itu 'terbang' ke Sepanyol pada Jumaat lalu selepas menghabiskan cuti musim panas singkat selama lebih seminggu di Malaysia.

Selama berada di tanah air, Hakim Danish jelas berdepan jadual yang padat termasuk acara membabitkan penajanya namun menegaskan dia tidak mengabaikan sesi latihan intensif bagi memastikan kecergasannya kekal di tahap terbaik.

“Sepanjang berada di Malaysia, saya pastikan momentum latihan tidak terhenti. Saya terus berlatih di litar, menjalani latihan fizikal di gim dan juga berlari untuk menjaga stamina. Semuanya berjalan lancar," katanya.

Ketika ditanya mengenai tekanan, Hakim Danish selaku pendahulu kejuaraan RBMRC berkata dia tidak mahu memberatkan dirinya dengan sebarang tekanan yang tidak perlu, sebaliknya fokus untuk meneruskan momentum cemerlang yang sudah dibina sejak awal musim.

"Tiada tekanan dan fokus utama adalah untuk meneruskan momentum sedia ada. Saya akan tumpukan perhatian pada setiap hujung minggu perlumbaan, dan memberikan yang terbaik pada setiap perlumbaan."

"Keadaan mental dan fizikal saya sangat baik. Saya sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi pusingan seterusnya bagi Rookies Cup dan JrGP. Apa yang pasti, saya akan berjuang habis-habisan demi nama Malaysia," katanya.