HAKIM Danish Fokus Keputusan Lebih Baik Di Catalunya
Pada perlumbaan di Perancis, Hakim Danish yang berlumba bersama pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi mengakui yang kelajuan semata-mata tidak menjamin kejayaan namun turut dibantu percaturan taktikal dan pendekatan lebih bijak
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/13/20261 min read


PENGALAMAN berharga yang diperoleh di Le Mans, minggu lalu mahu dimanfaatkan sepenuhnya pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli menjelang Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (GP) Catalunya di Barcelona, hujung minggu ini.
Pada perlumbaan di Perancis, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi mengakui yang kelajuan semata-mata tidak menjamin kejayaan namun turut dibantu percaturan taktikal dan pendekatan lebih bijak.
"Le Mans banyak mengajar saya tentang bagaimana untuk kekal tenang ketika keadaan sangat sukar. Kadang-kadang dalam perlumbaan, bukan pelumba paling laju yang menang, tetapi pelumba yang paling bijak mengawal risiko," katanya.
Pelumba kelahiran Terengganu itu mempamerkan tunggangan matang di Le Mans untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-10, sekali gus mengutip enam mata kejuaraan yang amat berharga tatkala ramai pelumba lain gagal menamatkan perlumbaan.
Mengakui sedikit kecewa kerana dia sebenarnya memiliki rentak kelajuan yang sangat baik sepanjang hujung minggu di Le Mans, pelumba berusia 18 tahun itu tetap bersyukur kerana berjaya mengelak daripada sebarang insiden dan berjaya membawa pulang mata kejuaraan.
Dan ia turut menyuntik moral positif menjelang aksi di Sepanyol nanti.
Mengulas aksi di Catalunya, Hakim Danish mengakui ia adalah litar yang menyimpan kenangan manis buat dirinya selepas merekodkan keputusan baik ketika beraksi di kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBRC) musim lalu.
Sekali pun cabaran di pentas dunia Moto3 jauh lebih sengit, Hakim kekal optimis terhadap kemampuannya.
"Saya mempunyai kenangan yang cukup baik di sana dan ia memberi keyakinan tambahan buat saya. Saya mahu tampil dengan aksi lebih kemas dan jika semuanya berjalan lancar, saya percaya kami mampu bersaing lebih dekat dengan kelompok hadapan," katanya.

