HAKIM Danish Grang Hari Pertama GP Malaysia 2025, Layak Terus Ke-Q2!

Pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1), Hakim Danish mencatat masa ke-8 terpantas diikuti dengan catatan ke-11 terpantas pada sesi Latihan yang sekali gus menempatkan dirinya dalam kelompok 14 pelumba terbaik

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/24/20252 min read

JAGUH negara yang beraksi menerusi tiket wildcard di Grand Prix (GP) Malaysia 2025, Hakim Danish Ramli membuka 'akaunnya' di Kejuaraan Motosikal Dunia dengan prestasi meyakinkan apabila melayakkan diri terus ke sesi Kelayakan 2 (Q2) kelas Moto3, esok.

Pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1) pada aksi yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, pelumba berusia 18 tahun itu mencatat masa ke-8 terpantas.

Ia diikuti dengan catatan ke-11 terpantas pada sesi Latihan dengan masa 2 minit 11.820 saat (s) yang sekali gus menempatkan dirinya dalam kelompok 14 pelumba terbaik untuk bersaing merebut petak utama.

Catatan terpantas dilakukan pelumba Red Bull KTM Ajo, Jose Antonio Rueda (2:11.152s), diikuti rakan sepasukannya, Alvaro Carpe (2:11.187s) dan pelumba gantian, Brian Uriarte dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP (2:11.202s).

Apa yang menarik, ketiga-tiganya adalah bekas juara keseluruhan kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) iaitu pada musim 2022, 2024 dan 2025.

Hakim Danish yang mewakili pasukan Aeon Credit SIC Racing MSI di Sepang menamatkan kempen RBMRC pada musim ini di tempat ketiga keseluruhan.

Ketika ditemui di garaj pasukannya, Hakim Danish mengakui dia tidak meletakkan sasaran khusus untuk sesi kelayakan, sebaliknya bertekad memberikan aksi terbaik.

“Untuk petak saya tak fikir, saya cuma akan ‘full gas’ terus, esok. Kita akan lihat dekat kelayakan 2 nanti, tengok posisi mana, tak kiralah dia juara ke, dia apa ke, saya ‘full gas’ je,” katanya.

Mengulas saingan sengit daripada tiga pelumba handalan itu, anak jati Terengganu itu mengakui corak perlumbaan Kejuaraan Dunia berbeza namun yakin mampu menyesuaikan diri.

“Saya tak nafikan mereka memang laju, saya akan cuba adaptasi dengan cepat untuk bersaing dengan mereka,” katanya.

Hakim Danish turut menyatakan keyakinan terhadap keupayaannya untuk menyaingi pelumba dalam kelompok hadapan berdasarkan jurang masa yang diperolehnya pada hari pertama.

“Saya tak rasa jurang kami terlalu jauh, saya berada cukup hampir dengan mereka. Daripada segi catatan masa pun tidak jauh,” katanya..

Hakim Danish dalam pada itu mengakui dia giat memperbaiki aspek teknikal tunggangan termasuk titik membrek dan bukaan gas keluar selekoh.

“Kita ada pasukan yang buat penambahbaikkan daripada segi teknikal, kru ini sama dengan pasukan saya di JuniorGP, ketua kru juga sama, jadi, saya tidak berdepan masalah untuk berkomunikasi dengan mereka,” katanya.