HAKIM Danish Hampir Pasti Ke Moto3 Musim Depan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/23/20252 min read

JIKA berpandukan kepada kata-kata bos Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, Azhan Shafriman Hanif, tempat untuk pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk beraksi di pentas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia sudah tersedia pada tahun depan.

Tampil dengan nada cukup yakin yang pelumba berbakat negara itu akan mewarnai kancah perlumbaan berprestij berkenaan, Shafriman begitupun mengendurkan sedikit 'keterujaan' itu apabila menyatakan ia masih bersyarat.

Kata Shafriman, berdasarkan perancangan yang sudah pun dipersetujui, pelumba berusia 17 tahun kelahiran Terengganu itu sudah pun mempunyai tempat bersama pasukan MT Helmets-MSI bagi musim 2026.

"Ketika ini, dia adalah calon utama bagi tempat itu," kata Shafriman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS SIC.

"Tetapi pada masa sama, dia masih perlu membuktikan dia layak untuk mengisi tempat itu berdasarkan prestasi musim ini kerana kita tidak mahu dia merasa gembira.

"Juga kerana jika kita terus memberikan tempat itu kepadanya, ia juga tidak adil kepada pelumba lain jadi dia mesti menunjukkan keputusan memberangsangkan.

"KPI (petunjuk prestasi utama) yang ditetapkan ialah kedudukan lima terbaik dalam Kejuaraan Dunia Junior GP (JrGP) dan tiga terbaik dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC)," katanya.

Hakim Danish yang juga pelumba Program Pembangunan Bakat SIC ketika ini menyertai saingan JrGP dan RBMRC, dua platform pembangunan bakat utama dunia sebelum ke Kejuaraan Dunia.

Shafriman ditemui pada majlis menandatangani surat persefahaman (MOU) antara SIC dan Aeon Credit Service (M) Berhad di ibu negara, hari ini.

Kerjasama itu menyaksikan Aeon Credit akan memainkan peranan penting dalam perlumbaan Grand Prix Malaysia Petronas serta Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) pada musim ini.

Pada musim lalu, Hakim Danish menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan dalam pentas RBMRC dan ke-15 keseluruhan di JrGP.

Shafriman dalam pada itu memaklumkan SIC bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia memberikan sokongan kepada Hakim Danishsekiranya dia berjaya melangkah ke saingan Moto3 musim depan.

"Setakat ini, belum ada keputusan muktamad daripada MT Helmets sama ada tempat itu perlu dibayar. Saya difahamkan ada bayaran, tetapi belum diputuskan sama ada ia akan ditanggung oleh mereka atau oleh kita," katanya.

Malaysia ketika ini tidak memiliki pelumba yang beraksi sepenuh masa dalam Kejuaraan Motosikal Dunia musim ini dan musim lalu dengan pelumba terakhir berada di pentas itu adalah menerusi Syarifuddin Azman pada 2023 di Moto3.