HAKIM Danish Idam Kemenangan Di Mugello, Qabil Irfan Mahu Bersaing Kelompok Depan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/31/20241 min read
SELEPAS Jerez dan Le Mans, keputusan lebih baik disasarkan pelumba negara, Hakim Danish Ramli di Pusingan 3 kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 di Mugello, Itali, hujung minggu ini.
Pada aksi Pusingan 2 di Le Mans, Perancis, pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya menaiki podium selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.
Keputusan itu menyaksikan pelumba berusia 17 tahun itu kekal di podium untuk dua pusingan berturut-turut selepas turut meraih tempat kedua pada Perlumbaan 2 Pusingan 1 di Jerez, Sepanyol pada April.
"Untuk perlumbaan di Mugello ni, harapan saya adalah untuk menang," kata Hakim Danish. "Di Mugello, litar ini ada laluan lurus yang panjang.
"Saya perlu tidak melakukan kesilapan dan perlu betul-betul berada di tempat yang sepatutnya.
"Setakat hari ini, cuaca di Mugello baik. Jadi saya harap cuaca dapat kekal baik sehingga hari perlumbaan Ahad nanti.”
Sementara itu, Qabil Irfan Azlan yang beraksi di Valencia, Sepanyol di Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) dalam kelas Moto4 mahu mendapatkan keserasian lebih baik dengan jenteranya.
"Saya harap saya dapat mulakan dengan baik dari sesi latihan. Saya akan cuba ubah diri saya untuk pergi lebih laju di sesi latihan dan saya dapat berlumba di kelompok hadapan," kata Qabil Irfan yang beraksi bersama pasukan VHC Frando Racing Team.
"Doakan saya untuk minggu ini," kata pelumba cilik kelahiran Terengganu itu.
Pada aksi Pusingan 1 Moto4 ESBK 2024 yang berlangsung di Jerez, Sepanyol sebelum ini, Qabil berjaya meraih kedudukan ke-6 pada Perlumbaan 1 namun tergelincir ke kedudukan ke-12 pada Perlumbaan 2.