HAKIM Danish Idam Podium, Danial Syahmi Mahu Keputusan Positif Di Aragon

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/10/20241 min read

HAKIM Danish Ramli berharap penampilannya di Pusingan 6 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2024 di Aragon, Sepanyol minggu ini dapat membawanya ke podium.

Pelumba muda kelahiran Terengganu itu mengharungi tempoh sukar pada Pusingan 5 di Jerez, Sepanyol pertengahan bulan lalu selepas mengalami kemalangan pada Perlumbaan 2.

Berikutan itu, pelumba berusia 17 tahun itu tidak pulang ke Malaysia sebaliknya meneruskan latihan di Sepanyol dan selain menjalani latihan bersama 'Rider formation'.

Dan selain menjalani latihan berbentuk fizikal, Hakim Danish dan pasukannya SIC Racing-MSi turut mengadakan sesi ujian di litar sama dalam usaha mendapatkan pelarasan terbaik untuk jenteranya sebelum menghadapi perlumbaan.

"Saya berpeluang mendapatkan persiapan yang rapi menghadapi JrGP minggu ini," kata Hakim Danish. "Selepas perlumbaan di Jerez, saya kekal di Sepanyol untuk berlatih bersama 'Rider formation'.

"Dalam sesi ujian di Aragon minggu lalu, kami berhasil mendapatkan pelarasan jentera lebih awal dan mencuba pelbagai konfigurasi yang sesuai agar saya dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik.

"Sasaran saya hujung minggu ini adalah untuk bermula di barisan hadapan dan memburu podium pertama di JrGP. Saya berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan saya."

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara yang beraksi di JrGP, Danial Syahmi Shahril menjelaskan persiapannya terarah untuk mendapatkan permulaan yang bagus ketika perlumbaan serta latihan di gimnasium.

Begitupun, pelumba yang beraksi bersama pasukan Junior Talent Team - Honda itu mengharungi sesi ujian yang sukar di Jerez selepas mengalami kemalangan dan berdepan kecederaan.

Mengakui sesi ujian itu memberinya keyakinan, Danial berkata dia turut berharap kecederaan tangannya tidak mengganggu aksinya di Aragon.

"Saya memberi tumpuan penuh kepada pemulihan kecederaan tangan agar saya dapat pulih sepenuhnya. Dalam perlumbaan hujung minggu ini, saya akan berikan yang terbaik untuk berada di kelompok hadapan dan berjuang sebaik mungkin."