HAKIM Danish Intai Podium Di Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/27/20251 min read

HAKIM Danish Ramli enggan meletakkan sasaran menggunung sebaliknya melihat pentas podium sebagai sasaran realistik pada Pusingan 2 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Litar Jerez, Sepanyol, hujung minggu ini.

Dan seperti pusingan pembuka tirai JrGP musim ini pada awal bulan ini, pelumba berbakat besar kelahiran Terengganu itu menyenaraikan pelumba Sepanyol, Brian Uriarte yang juga pemenang di Estoril, Portugal sebagai pencabar utamanya.

Hakim Danish pada perlumbaan di Estoril memulakan saingan di petak ketiga sebelum menamatkan perlumbaan sebagai naib juara di belakang Uriarte.

Keputusan itu menyaksikan pelumba berusia 17 tahun itu mengisi tangga kedua carta kedudukan pelumba selepas mengumpul 20 mata dengan Uriarte mengutip 25 mata maksimum.

"Sasaran saya pada minggu ini adalah untuk bersaing bagi kedudukan podium dan cuba untuk berada dalam kelompok hadapan ketika perlumbaan," kata Hakim Danish yang ketika ini sudah berada di Sepanyol dalam satu rakaman disediakan ZK Racing.

"Saya juga mahu mengikuti Brian kerana saya tahu dia sangat kuat di Jerez dan mempunyai kelajuan yang konsisten di sini. Jadi, saya mahu tingkatkan kepantasan saya dan kekal bersaing dengannya."

Tidak seperti di Portugal yang hanya satu perlumbaan dilangsungkan, pusingan di Jerez menyaksikan dua perlumbaan akan dijalankan dengan kedua-duanya berlangsung pada Ahad.

Dalam pada itu, Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan SIC Racing-MSi turut menegaskan kepulangannya ke tanah air selama seminggu pada 18 Mei lalu dan pulang ke Eropah pada 26 Mei tidak merencatpakn persiapannya menghadapi Jerez.

"Persiapan berjalan lancar. Saya sempat menjalani latihan di Malaysia dan sejurus tiba di Sepanyol, saya terus sambung latihan di sini. Saya harap rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan saya," katanya.

Selain beraksi di pentas JrGP, Hakim Danish turut beraksi dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) pada musim ini.

Dan selepas dua pusingan RBMRC, pelumba berbakat itu menduduki carta teratas keduduka pelumba selepas mengumpul 80 mata hasil empat kedudukan naib juara secara berturut-turut.

Selain Uriarte, saingan JrGP musim ini turut dibarisi pelumba berbakat lain juara Asia Talent Cup (ATC) tahun lalu, Zen Mitani dari Jepun, juara ATC 2023 dari Indonesia, Veda Ega Pratama dengan grid perlumbaan disertai seramai 33 pelumba.