HAKIM Danish, KBS Dan Dana Sukan Permotoran
Sudah Hampir RM 9 Juta Dibelanjakan Untuk Hakim Danish, Ini Tempoh Terbaik KBS 'Cuci Tangan' Henti Dana Ketika Bakat Ada Di Kemuncak?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/30/20263 min read


HAKIKAT pahit yang perlu ditelan, sukan permotoran adalah sukan yang menelan belanja cukup besar. Ia adalah realiti yang tidak boleh disangkal sesiapa pun.
Tetapi persoalannya, adakah disebabkan pelaburan dan jumlah yang sudah dibelanjakan besar, ia memberi makna sokongan harus dihentikan tatkala ia mula menampakkan hasil?
Itu polemik yang sedang hangat meniti di bibir peminat sukan permotoran tempatan ketika ini mengikuti pendedahan hampir RM 9 juta sudah dibelanjakan untuk pembangunan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Selepas bertahun-tahun, topik mengenai dana menjadi perbualan hangat apabila pada tahun ini, tiada peruntukkan khas diumumkan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk pelumba itu yang sedang beraksi di pentas lebih tinggi - Moto3 - yang pastinya memakan kos lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Isu ini mula tercetus apabila Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol mengumumkan tiada peruntukan khas daripada KBS untuk Hakim Danish dan ZK Racing bagi program 2026. Kenyataan itu dibuat ketika majlis pengumuman penajaan rasmi AEON Credit Service (M) bagi pasukan MT Helmet MSI untuk kategori Moto3.
Keputusan itu dilihat amat mengejutkan. Dan menariknya, cukup bercanggah dengan apa yang pernah disuarakan oleh bekas Menteri KBS sebelum ini, Hannah Yeoh yang bertekad untuk menyokong bakat muda itu sehingga ke peringkat tertinggi.
Dan ketika ditanya, ZK Racing sebagai pihak yang menguruskan Hakim Danish tetap menyatakan yang dana untuk menguruskan pelumba itu untuk beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia masih belum mencukupi sekalipun memperoleh tajaan daripada AEON Credit Malaysia dan beberapa lagi syarikat.
Persoalannya, adakah KBS merasakan pelaburan itu tidak lagi perlu? Atau adakah pendedahan angka yang didakwa menelan belanja RM 8,930,686.51 (membabitkan dana KBS, Kementerian Kewangan dan Litar Antarabangsa Sepang - SIC) yang diwar-warkan boleh dijadikan sebab untuk memberhentikan dana?
Di usia baru menginjak 18 tahun, situasi itu menyaksikan Hakim Danish terpaksa kerap berkelana ke Eropah bersendirian demi mengibarkan Jalur Gemilang.
Dan menariknya, hasilnya yang dibawa pulang selepas separuh musim ini berlangsung tak dapat dinafikan cukup membanggakan.
Selepas berjaya menaiki podium tempat ketiga kelas Moto3 di Grand Prix (GP) Itali, dan mencipta sensasi apabila meraih kemenangan bersejarah di GP Rep. Czech.
Kos Meningkat Seiring Tahap Pertandingan
Jika angka RM 9 juta menjadi isu, MotoDotMy sempat bercakap kepada ramai penulis 'otai' dalam usaha mendapatkan pandangan adakah mungkin satu audit perlu dilakukan. Namun persoalannya siapa yang perlu diaudit? Adakah pengurusan, kementerian, atau ekosistem sukan itu sendiri?
Kerana apa yang pasti, apa yang dibelanjakan itu tidak terus masuk ke poket Hakim Danish.
Dan jika jumlah itu terlampau besar, bagaimana pula dengan perbelanjaan untuk sukan lain yang turut menghabiskan dana yang besar tanpa membawa pulang keputusan bertaraf dunia?.
Tanpa dana KBS, untuk tahun ini, SIC dikatakan terpaksa mengambil inisiatif menggunakan dana dalaman melalui MotoGP Rebate sebanyak RM 453,808 bagi menyokong penyertaan Hakim Danish di pentas Moto3, selain meneruskan sokongan untuk beberapa pelumba lain.
Realiti 'Permainan' Di MotoGP
Sebagai sukan yang 'mahal', apa yang perlu diketahui ramai pihak adalah realiti mengenai 'permainan' sebenar di paddock MotoGP. Apa yang pasti, memiliki bakat sahaja tidak cukup. Ia menuntut sokongan kewangan yang luar biasa besar.
Hakikatnya, Malaysia belum mempunyai kemampuan kewangan atau teknikal yang utuh untuk membentuk pasukan sendiri dari bawah (scratch) di kelas dunia. Dan jika mampu, dana yang diperlukan mungkin tak dapat dibayangkan.
Dan alternatifnya adalah menempatkan pelumba dalam sedia ada yang berkualiti - seperti yang dibuat ZK Racing kepada Hakim Danish - namun sekali lagi, ia bukan tugas mudah dan memerlukan wang yang bukan sedikit.
Justeru, adakah KBS benar-benar merasakan kejayaan dan peluh keringat Hakim Danish selama ini tidak berbaloi untuk disokong hingga ke garisan penamat? Adakah pelaburan hampir RM 9 juta ini akan dibiarkan menjadi 'projek separuh jalan'?
Apa yang pasti, meninggalkan Hakim Danish bersendirian ketika dia hanya beberapa langkah sahaja lagi langkah untuk bergelar pelumba MotoGP mungkin akan menjadi satu kerugian besar buat sukan negara.
Bakatnya sudah terbukti - diakui termasuk bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin - dan kini, apa yang diperlukan hanyalah 'pelincir' untuknya terus memecut ke hadapan.
Untuk makluman, kami di MotoDotMy langsung tidak menafikan sumbangan KBS terhadap perkembangan karier Hakim Danish dan pembangunan sukan permotoran negara. Tetapi apa yang lebih utama, perkara ini perlu diteliti sebaik mungkin.

