HAKIM Danish Ke-4 Terpantas Sesi Latihan Moto3 GP Malaysia 2026
Seperti diketahui, Hakim Danish yang juga pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi tampak bergelut dengan prestasi kurang menentu pada beberapa pusingan sebelum ini namun berjaya bangkit dengan tunggangan agresif di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) PETRONAS
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/30/20261 min read


PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli tampil dengan persembahan cukup meyakinkan di laman sendiri apabila berjaya menempah slot secara automatik ke Sesi Kelayakan 2 (Q2) Grand Prix (GP) Malaysia, hari ini.
Seperti diketahui, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu tampak bergelut dengan prestasi kurang menentu pada beberapa pusingan sebelum ini sebelum bangkit dengan tunggangan agresif di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) PETRONAS.
Selepas mencatatkan masa ke-5 terpantas pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1) pada pagi, pelumba kelahiran Terengganu itu cemerlang merekodkan masa ke-4 terpantas dengan catatan cukup kompetitif 2 minit 11.57 saat (s).
Lebih menarik, catatan itu hanya ketinggalan 0.146s di belakang pelumba yang melakukan catatan terpantas, David Almansa dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP.
Prestasi memberangsangkan itu membolehkan pelumba berbakat besar itu menempatkan diri dalam kelompok 14 pelumba terbaik secara keseluruhan, sekali gus meraih tiket terus ke Kelayakan 2 (Q2) dan mencerahkan peluang memburu petak mula yang strategik.
Catatan ke-2 terpantas dilakukan pelumba pasukan Red Bull KTM Tech3, Rico Salmela dengan perbezaan masa (+0.069s), manakala pelumba Indonesia dari Honda Team Asia, Veda Pratama melengkapkan kedudukan 3 teratas (+0.092s).
Apa yang pasti, prestasi meyakinkan pelumba berusia 19 tahun ini pastinya menyuntik kelegaan dan semangat tambahan buat kem negara, selain menjanjikan saingan sengit pada sesi kelayakan hari ini menjelang hari perlumbaan sebenar di hadapan puluhan ribu penyokong pemotoran tanah air pada Ahad.

