HAKIM Danish Kekal Positif

Selepas mencatatkan masa ke-17 terpantas pada Sesi Latihan Bebas 1, Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu sekadar menghuni kedudukan ke-22 terpantas pada Sesi Latihan sekali gus memaksanya terlepas tiket terus ke Kelayakan 2 (Q2)

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/27/20261 min read

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish kekal positif di sebalik permulaan agak sukar pada hari pembukaan Grand Prix (GP) Thailand 2026 yang diharunginya, hari ini.

Selepas mencatatkan masa ke-17 terpantas pada Sesi Latihan Bebas 1, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu sekadar menghuni kedudukan ke-22 terpantas pada Sesi Latihan sekali gus memaksanya terlepas tiket terus ke Kelayakan 2 (Q2) pada Sabtu.

Begitupun, pelumba kelahiran Terengganu itu tetap berazam untuk menempah tiket ke Q2 menerusi tiket Q1.

Mengulas mengenai prestasinya, Hakim Danish mengakui terdapat peningkatan terutama membabitkan aspek tahap keyakinan dirinya berbanding sesi ujian pra-musim sebelum ini.

"Bagi saya, ada perkembangan yang positif hari ini. Seperti yang semua sedia maklum, ketika sesi ujian sebelum ini saya kurang begitu yakin.

"Namun pada sesi pertama hari ini, saya berasa lebih yakin berbanding sewaktu ujian. Setiap pusingan yang dilakukan menunjukkan peningkatan. Cuma pada sesi latihan tadi, saya masih perlu mencari penyelesaian di beberapa selekoh dan memperbaiki kedudukan badan untuk pergi lebih laju di atas litar," katanya.

Dalam sesi itu, Hakim turut mencemaskan peminat dan pasukannya apabila hampir mengalami 'low side' namun dia berjaya menyelamatkan keadaan dan mengelakkan insiden yang lebih buruk.

Hakim berkata, kejadian itu berlaku apabila dia melakukan membrek secara agresif seperti biasa namun kehilangan cengkaman tayar hadapan.

"Apabila masuk ke pertengahan selekoh, saya hilang cengkaman depan tetapi mujur saya sempat menyelamatkannya. Insiden itu sedikit sebanyak menjejaskan catatan masa saya.

"Hampir setiap pusingan saya berdepan risiko low side di situ, namun saya cuba menyesuaikan diri untuk terus mengawalnya daripada terjatuh," katanya.

Mengenai cabaran untuk sesi kelayakan, Hakim Danish bertekad untuk memperbaiki catatan masa pusingan secara keseluruhan bagi memastikannya melepasi cabaran Q1.

"Ya, saya rasa saya boleh perbaiki lagi masa pusingan saya. Saya akan bekerja keras di dalam sesi Q1 nanti untuk melangkah ke Q2," katanya sambil turut memuji peranan krew pasukannya, terutamanya ketua krew yang banyak membantu meningkatkan keyakinannya pada minggu perlumbaan ini.