HAKIM Danish Kembali Bergelut, Mula Aksi Di Misano Di Petak Ke-17

Selepas menunjukkan sedikit kebangkitan pada sesi Latihan dengan mencatatkan masa ke-13 terpantas, yang membawa pelumba pasukan SIC Racing-MSi itu terus ke Kelayakan 2 (Q2), situasi yang diharapkan Hakim Danish ketika sesi Q2 tidak terlaksana

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/20/20251 min read

KEBANGKITAN yang diharapkan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli pada hari kedua Pusingan 5 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 tidak menjadi kenyataan apabila terus bergelut dan terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-17.

Selepas menunjukkan sedikit kebangkitan pada sesi Latihan dengan mencatatkan masa ke-13 terpantas, yang membawa pelumba pasukan SIC Racing-MSi itu terus ke Kelayakan 2 (Q2), situasi yang diharapkan ketika sesi Q2 tidak terlaksana.

Pada sesi Q2, pelumba berusia 18 tahun itu melakukan catatan 1 minit 42.924 saat.

Tetapi catatan itu jauh daripada catatan terpantas 1 minit 40.617 saat yang dilakukan pelumba petak utama, Brian Uriarte.

Dan keputusan itu menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu itu terpaksa memulakan perlumbaan di barisan ke-6, situasi yang dilihat bakal memberi kesukaran kepadanya ketika perlumbaan esok.

Seperti diketahui, Hakim Danish pada Jumaat bergelut dengan masalah teknikal apabila jentera yang ditunggangnya mengalami isu suspensi, sekali gus menjejaskan catatan masa dalam dua sesi Latihan Bebas.

Dia hanya mampu mencatat masa ke-19 terpantas dalam sesi pertama dan ke-24 terpantas dalam sesi kedua.

Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairudin, menjelaskan bahawa masalah utama dikenal pasti berpunca daripada fork depan jentera dan berjanji pasukan akan berusaha untuk menyelesaikannya.