HAKIM Danish Kutip 2 Mata Di Valencia
Berlumba bersama pasukan FRINSA MT Helmets MSi, Hakim Danish yang menggantikan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka yang cedera memulakan perlumbaan dari petak ke-18
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/16/20251 min read


PELUMBA muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli menutup tirai kempen Moto3 2025 dengan prestasi positif selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Valencia 2025 di tempat ke-14, sekali gus meraih dua mata kejuaraan dunia dalam penampilan ketiganya di kejuaraan itu pada musim ini.
Hakim Danish, 18, yang mewakili pasukan FRINSA MT Helmets MSi sebagai pelumba gantian kepada Ryusei Yamanaka yang cedera, memulakan perlumbaan dari petak ke-18.
Meskipun berdepan kesukaran terutama pada hari pertama di Litar Ricardo Tormo, pelumba asal Terengganu itu menunjukkan ketenangan untuk mengekalkan rentak dan menamatkan perlumbaan dalam kelompok mata.
Perlumbaan itu dimenangi Adrian Fernandez dari pasukan Leopard Racing dengan catatan masa 32 minit 48.909 saat, menewaskan Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo) di tempat kedua dengan kedudukan ketiga menjadi milik pelumba Honda Team Asia, Taiyo Furusato selepas berdepan penalti.
Keputusan di Valencia turut menyaksikan Hakim Danish mengumpul keseluruhan enam mata berharga dalam penampilan ketiganya di pentas dunia.
Lebih menarik, kedudukan yang diperoleh Hakim Danish lebih baik daripada pencabar utamanya dalam kempen RBMRC musim ini, Brian Uriarte yang menamatkan saingan di tempat ke-16.
Seperti diketahui pelumba berusia 18 tahun itu sudah pun sah akan beraksi sepenuh musim dalam kelas Moto3 pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tahun depan bersama pasukan sama.
Sebagai rekod, Hakim Danish perlu mengharungi pusingan terakhir Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP yang dijadual berlangsung di litar sama pada minggu depan.

