HAKIM Danish Kutip Mata Sulung Moto3 Di Portugal

Beraksi sebagai pelumba gantian kepada Ryusei Yamanaka yang mengalami kecederaan, Hakim Danish yang mewakili pasukan FRINSA MT Helmets MSI mempamerkan tunggangan berkualiti di Litar Portimao, meskipun bermula dari petak ke-17

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/9/20251 min read

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli mencipta sejarah peribadi apabila berjaya mengutip mata sulungnya di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Portugal di kedudukan ke-12, semalam.

Beraksi sebagai pelumba gantian kepada Ryusei Yamanaka yang mengalami kecederaan, Hakim Danish yang mewakili pasukan FRINSA MT Helmets MSI mempamerkan tunggangan berkualiti di Litar Portimao, meskipun bermula dari petak ke-17.

Pelumba berusia 18 tahun itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 34 minit 29.458 saat, ketinggalan 24.276 saat di belakang pemenang, Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team dengan masa 34:05.182s.

Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukan Hakim Danish, Angel Piqueras di tempat kedua (+1.663s), manakala pelumba Jepun, Taiyo Furusato dari Honda Team Asia melengkapkan podium di tempat ketiga (+2.886s).

Kejayaan ini bukan sahaja menyaksikan Hakim mengutip empat mata sulung dalam saingan berprestij dunia itu, malah menjadi petanda awal terhadap potensi besar yang dimilikinya menjelang penyertaan penuh dalam musim Moto3 2026.

Selain itu, Hakim Danish turut dijadualkan menyertai perlumbaan penutup musim di GP Valencia hujung minggu ini.

Turut mencuri tumpuan ialah juara keseluruhan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025, Brian Uriarte, yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-13, satu posisi di belakang Hakim Danish.