HAKIM Danish Layak Terus Q2 GP Austria 2026
Pada aksi di Litar Red Bull Ring itu, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI Hakim Danish melakukan catatan masa terbaik 1 minit 40.289 saat (s) yang juga catatan ke-6 terpantas sesi berkenaan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/18/20261 min read


PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengharungi sesi Latihan Grand Prix (GP) Austria 2026 mendebarkan sebelum berjaya melayakkan diri mara secara terus ke Kelayakan 2 (Q2) Pusingan 15 Kejuaraan Motosikal Dunia itu.
Pada aksi di Litar Red Bull Ring itu, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu melakukan catatan masa terbaik 1 minit 40.289 saat (s) yang juga catatan ke-6 terpantas sesi berkenaan.
Catatan itu sekali gus memastikan tempat pelumba kelahiran Terengganu itu dalam kelompok 14 pelumba terbaik yang layak secara automatik ke sesi Q2 tanpa perlu mengharungi Q1.
Apa yang lebih menarik, catatan terbaik yang dilakukan Hakim Danish itu diperoleh selepas dia mengalami insiden terjatuh.
Ketika sesi berbaki kira-kira 5 minit, Hakim Danish yang mengisi tempat ke-4 terpantas terjatuh namun bingkas bangkit mendapatkan jenteranya yang masih hidup untuk meneruskan sesi.
Dan ketika catatan yang dilakukan sebelum ini terus dipintas pelumba lain, pelumba berusia 19 tahun itu melakukan catatan terbaiknya pada penghujung sesi untuk membolehkannya mengisi catatan ke-6 terpantas.
Pelumba Sepanyol, David Almansa daripada pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP muncul terpantas dengan catatan 1:39.668s, diikuti pendahulu kejuaraan Maximo Quiles daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team, ketinggalan 0.195s.
Pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe mencatatkan masa ke-3 terpantas dengan 1:40.171s.
Apa yang pasti, persembahan positif itu peputusan itu pastinya memberi suntikan keyakinan buat Hakim Danish selepas dia terpaksa berdepan penalti grid pada GP San Marino di Litar Misano, minggu lalu.
Di Misano, pelumba berusia 19 tahun itu bagaimanapun bangkit daripada barisan belakang untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 sekali gus mengutip 4 mata berharga.
Hakim Danish ketika ini menghuni tangga ke-8 keseluruhan dalam carta Moto3 dengan mengumpul 94 mata.

