HAKIM Danish Lengkap Kempen RBMRC 2024 Di Kedudukan Ke-6

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/8/20241 min read

TIADA penamat podium diraih pelumba negara, Hakim Danish Ramli pada perlumbaan penutup tirai kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 di Misano, Itali yang menyaksikannya melepasi garisan penamat di tempat ke-7.

Pelumba kelahiran Terengganu itu pada Perlumbaan 1, semalam tampil dengan persembahan menakjubkan apabila menamatkan aksi di pentas podium di kedudukan ketiga.

Begitupun, keputusan sama yang diharapkan berlaku di litar penuh teknikal itu tidak kesampaian yang menyaksikannya terpaksa berpuas hati melengkapkan saingan musim ini di kedudukan ke-6 keseluruhan.

Seperti diketahui, kedudukan ke-3 semalam sudah pun menutup peluang pelumba berusia 17 tahun itu untuk dianugerahkan 'tiket awal' ke Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 musim depan.

Pada aksi yang berlangsung cukup mendebarkan, Hakim Danish yang memulakan perlumbaan di petak ke-10 tampak seperti ingin menggunakan taktikal sama seperti dilakukannya semalam.

Dan sekali pun pada satu ketika berjaya bersaing di kelompok depan, persaingan membabitkan pemburuan kejuaraan keseluruhan yang membabitkan - Alvaro Carpe dan Brian Uriarte menyaksikan aksi menjadi lebih sengit.

Begitupun bukan Carpe atau Uriarte berjaya bergelar pemenang pada perlumbaan berkenaan, namun ia menjadi milik rakan sepelatih Hakim Danish iaitu Valentine Perrone dari Argentina.

Begitupun, kedudukan kedua yang diraih Carpe sudah cukup menyaksikannya dinobatkan sebagai juara keseluruhan RBMRC 2024 mengatasi Uriarte yang melepasi garisan penamat di tempat ketiga.

Dan menariknya, kedua-dua pelumba hanya dibezakan dengan dua mata di carta kedudukan pelumba.

Bagi Hakim Danish kedudukan keenam keseluruhan RBMRC musim ini dengan mengutip 139 mata menyaksikannya melepasi 'KPI' yang diletakkan kepadanya selain memperbaiki kledudukan ke-12 pada penampilan sulungnya di kejuaraan itu musim lalu.