HAKIM Danish Letak Sasaran 10 Terbaik JrGP, RBRMC 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/28/20241 min read

PELUMBA muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli yang dijadual beraksi di dua perlumbaan - Kejuaraan FIM JuniorGP (JrGP) dan Red Bull Rookies MotoGP Cup (RBRMC) 2024 musim ini - terbang ke Eropah, semalam sebagai persiapan menghadapi dua kejuaraan berkenaan.

Tidak berseorangan, pelumba kelahiran Terengganu itu ditemani tiga krew pasukannya, SIC Racing - MSi akan mengharungi sesi ujian pra-musim terlebih dulu sebelum kempen kejuaraan membuka tirainya pada April.

Tampak seperti enggan meletakkan tekanan begitu tinggi, Hakim sebelum berlepas berkata dia menyasarkan untuk mengisi kedudukan 10 terbaik di kejuaraan berkenaan, termasuk pada penampilan sulungnya di JrGP.

Begitupun, pelumba berusia 17 tahun itu berkata dia akan menilai dulu tahap persaingan yang ditampilkan di kejuaraan itu pada Pusingan 1 terlebih dulu sebelum memberikan sasaran spesifik buatnya.

"Ini adalah penampilan pertama saya di JrGP jadi saya berharap dapat buat yang terbaik," kata Hakim.

"Dari sudut sasaran, saya meletakkan sasaran 10 terbaik tetapi untuk perlumbaan pertama ini, saya ingin melihat di mana tahap saya dan kalau saya boleh buat lebih bagus, memang saya mahukan keputusan lebih baik.

"Untuk saya Red Bull Rookies, saya juga meletakkan sasaran 10 terbaik dan ingin memperbaiki keputusan yang saya raih pada tahun lepas. Apapun, saya akan cuba buat yang sehabis baik di kejuaraan itu nanti."

Hakim akan berada di Eropah selama 2 bulan 20 hari dan sekali lagi dijadual menyambut Ramadan dan Aidilfitri di Eropah.

"Memang akan ada rasa rindu untuk beraya di kampung tapi bagi saya, ia bukan halangan kerana ini memang adalah minat dan impian saya," kata Hakim yang sudah tiga tahun beraya di Eropah sebelum ini.

Selain tiga krew dari Malaysia, Hakim Danish juga akan ditemani oleh Zulfahmi Khairuddin yang bertindak sebagai Pengurus Pasukan SIC Racing-MSi.