HAKIM Danish Mahu 'Aura' Sepang Dibawa Ke Qatar
Tiba di Litar Antarabangsa Lusail dengan keyakinan tinggi susulan kejayaan di laman sendiri itu, Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan AEON Credit MT Helmets MSi tekad untuk mengulangi pendekatan taktikal sama yang dilihat membuahkan hasil
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/5/20261 min read


KEPUTUSAN positif menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-4pada Grand Prix (GP) Malaysia minggu lalu jelas menyuntik motivasi buat pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli menjelang aksi pusingan ke-20 Kejuaraan Motosikal Dunia di GP Qatar minggu ini.
Tiba di Litar Antarabangsa Lusail dengan keyakinan tinggi susulan kejayaan di laman sendiri, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu tekad untuk mengulangi pendekatan taktikal sama yang dilihat membuahkan hasil.
Pelumba berusia 19 tahun itu berkata, kejayaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) PETRONAS itu sebagai satu titik tolak penting yang memberikannya rentak tunggangan yang jauh lebih positif.
"Sasaran saya untuk GP Qatar adalah mengulangi pendekatan yang sama seperti di GP Malaysia. Pada hari pertama latihan, saya mahu mendapatkan rentak dengan pantas dan cuba untuk kekal tenang dalam apa jua keadaan," katanya.
Mengulas lanjut, pelumba kelahiran Terenggany itu yakin dia kini sudah menemui formula terbaik untuk terus memberi cabaran kepada pelumba di barisan hadapan.
"Saya rasa GP Malaysia memberikan banyak perkembangan positif kepada saya. Saya sudah mendapat perasaan yang lebih serasi dengan jentera dan mampu bersaing dalam kelompok hadapan.
"Jadi, saya berharap dapat mengekalkan prestasi dan momentum yang sama di Qatar nanti," katanya.
Menyentuh mengenai persediaan teknikal, Hakim Danish mendedahkan pasukannya tidak melakukan rombakan drastik terhadap jentera KTM tunggangannya bagi perlumbaan di bawah limpahan cahaya lampu limpah itu.
"Dari segi jentera, kami masih menggunakan jentera yang sama dan tiada perubahan besar dilakukan. Kami hanya akan memberikan tumpuan penuh kepada penambahbaikan pelarasan bagi mendapatkan prestasi yang lebih optimum," katanya.
Sebagai rekod, Litar Lusail bukanlah gelanggang yang asing buat Hakim Danish memandangkan dia pernah mengumpul pengalaman berharga beraksi di litar sepanjang 5.38 kilometer itu.
"Saya pernah berlumba di Qatar menerusi saingan Asia Talent Cup (ATC) selama dua tahun, dengan kali terakhir saya beraksi di sana adalah pada tahun 2022.
"Bagi saya, keistimewaan utama Litar Qatar ialah selekohnya yang berkelajuan tinggi. Ia tidak mempunyai banyak selekoh jenis 'stop and go', dan saya secara peribadi memang sangat menggemari karakter litar laju seperti ini," katanya.

