HAKIM Danish Mahu Kekal Momentum Di Sachsenring

Pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi, Hakim Danish tiba ke Pusingan 11 Kejuaraan Motosikal Dunia dengan motivasi tinggi selepas berjaya melonjak ke tangga ke-6 carta kejuaraan dunia Moto3 ketika ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/8/20261 min read

'REHAT' selama 2 minggu digunakan sebaiknya pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli sebagai persiapan bagi menghadapi kempen yang dijangka getir - Grand Prix (GP) Jerman 2026 di Sachsenring, hujung minggu ini.

Pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu tiba ke Pusingan 11 Kejuaraan Motosikal Dunia dengan motivasi tinggi selepas berjaya melonjak ke tangga ke-6 carta kejuaraan dunia Moto3 ketika ini.

Kejayaan itu hadir mengikuti kemenangan bersejarahnya di GP Republik Czech, disusuli kejayaan mengutip 9 mata penting selepas menamatkan saingan di tempat ke-7 pada GP Belanda, akhir bulan lalu.

Begitupun, Litar Sachsenring dijangka menjadi antara ujian paling getir buat pelumba berusia 18 tahun itu memandangkan karakternya yang unik, sempit dan didominasi selekoh kiri, sekali gus menuntut tahap ketepatan serta fokus maksimum.

Malah, litar itu pernah memberi cabaran besar buat pelumba kelahiran Terengganu itu ketika beraksi dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup musim lalu apabila dia sekadar menduduki tempat ke-10 (Perlumbaan 1) dan ke-18 pada Perlumbaan 2.

"Saya sangat teruja kerana ia adalah perlumbaan terakhir sebelum saingan berehat untuk cuti musim panas. Saya sudah menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh, selain mengulang kaji perlumbaan-perlumbaan sebelum ini serta menonton semula aksi Moto3 musim lalu.

"Seperti biasa, sasaran saya adalah untuk mendapatkan rentak seawal mungkin. Bagi saya, litar ini bukan mudah kerana mempunyai banyak selekoh kiri dan karakternya lebih menyerupai litar karting serta tidak begitu besar.

"Jadi, saya akan cuba menyesuaikan diri secepat mungkin dan memberikan keputusan terbaik untuk pasukan," kata Hakim.