HAKIM Danish Mahu Konsisten Di Mugello
HAKIM Danish Ramli tiba ke Mugello sebagai pendahulu kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 dan kedudukan itu mahu dipertahankan perlumba muda negara itu pada Pusingan 4 kejuaraan itu di Itali
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/19/20251 min read


HAKIM Danish Ramli tiba ke Mugello sebagai pendahulu kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 dan kedudukan itu mahu dipertahankan perlumba muda negara itu pada Pusingan 4 di Itali pada minggu ini.
Selepas enam perlumbaan berlangsung, pelumba kelahiran Terengganu itu sedang gah menghuni carta teratas kedudukan pelumba apabila mengumpul keseluruhan 125 mata.
Pelumba berusia 17 tahun itu pada Pusingan 1 bergelar naib juara dalam kedua-dua perlumbaan di Jerez, Sepanyol dan kedudukan sama diulang di Le Mans, Perancis sebelum satu lagi tempat kedua diperoleh pada Perlumbaan 1 di Aragon, Sepanyol.
Dan juara Asia Talent Cup pada kempen 2022 itu membuktikan bakat yang dimilikinya apabila meraih kemenangan pada Perlumbaan 2 di Aragon yang turut memberikannya kelebihan 30 mata di depan pencabar terdekatnya, Brian Uriarte dari Sepanyol.
"Saya memang suka dengan karakter litar ini (Mugello) kerana adanya laluan lurus yang panjang yang memberi peluang untuk 'slipstream'," kata Hakim Danish.
"Saya jangka kumpulan hadapan akan besar dengan ramai pelumba bersaing rapat. Dari segi persiapan, saya sudah jalani latihan menunggang di Sepanyol serta latihan fizikal.
"Saya rasa cukup bersedia untuk menghadapi perlumbaan ini. Untuk kejuaraan pula, saya berharap dapat kekal konsisten. Doakan kejayaan saya minggu ini."
Hakim Danish berdepan jadual padat di Eropah malah beberapa hari sebelum kempen di Mugello bermula, dia dan pasukannya di pentas Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) melakukan ujian persendirian di Perancis.
