HAKIM Danish Mahu Lupakan 'Magis' Brno, Pilih 'Reset' Fokus Tawan Assen!
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, Hakim Danish menjelaskan kejayaan di Brno sudah berlalu dan dia kini perlu memastikan dirinya bersedia dari segenap aspek menjelang cabaran seterusnya
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/24/20261 min read


KEMENANGAN bersejarah di Brno minggu lalu mahu dilupakan sementara pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli dengan menekan 'butang reset' bagi mengalihkan sepenuh fokus menghadapi Grand Prix (GP) Belanda 2026 di Assen, minggu ini.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu berkata sekalipun gembira dengan kejayaan sulung di Republik Czech, kejayaan itu sudah berlalu dan dia kini perlu memastikan dirinya bersedia dari segenap aspek menjelang cabaran seterusnya.
"Saya gembira dengan keputusan di Brno, tetapi kemenangan itu sudah berlalu dan saya perlu menekan butang reset. Fokus kini terarah sepenuhnya ke Assen.
"Saya perlu lakukan perkara sama seperti di Brno di Assen, iaitu mendapatkan rentak seawal sesi Latihan Bebas 1 (FP1). Saya akan berusaha mencari kelajuan dan menyesuaikan diri dengan jentera secepat mungkin bagi membina keyakinan," katanya.
Berbanding Brno, Litar Assen terkenal dengan kombinasi selekoh berkelajuan tinggi serta susun atur teknikal yang lebih mencabar.
Begitupun menariknya, litar ikonik itu bukanlah gelanggang asing buat pelumba kelahiran Terengganu itu kerana dia pernah beraksi di sana ketika saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup.
"Saya akan cuba memanfaatkan setiap sesi dengan sebaik mungkin dan memberikan 100 peratus usaha sepanjang hujung minggu ini," katanya.
Selepas GP Rep. Czech, Hakim Danish kini menghuni tangga ketujuh carta keseluruhan kejuaraan Moto3 dunia dengan mengumpul 73 mata.

